Parti pembangkang India tuntut rusuhan dihentikan

Bernama
April 17, 2022 14:16 MYT
Peserta demonstrasi aman di New Delhi memperjuangkan kesedaran tentang jenayah kebencian keganasan dan diskriminasi terhadap orang Islam di India. - Reuters
NEW DELHI: Gabungan parti pembangkang India membantah keganasan dan ucapan kebencian yang semakin memuncak terhadap umat Islam di negara itu.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan komunal di beberapa negeri baru-baru ini.
"Kami bimbang terhadap laporan insiden yang berlaku," menurut kenyataan bersama 13 parti politik pada Sabtu.
Madhya Pradesh, Karnataka, Uttar Pradesh, Rajasthan, Gujarat dan Delhi antara negeri yang menyaksikan serangan terhadap umat Islam dan harta benda mereka oleh kumpulan nasionalis Hindu.
Menurut kenyataan bersama itu keadaan yang berlaku amat membimbangkan dan malang sekali tiada tindakan sewajarnya diambil setakat ini.
Penandatangan kenyataan itu termasuk presiden Parti Kongres Sonia Gandhi, ketua menteri Tamil Nadu M.K.Stalin, ketua Parti Kongres Nasionalis Sharad Pawar, Ketua Menteri Bengal Barat Mamata Banerjee, Ketua Menteri Jharkhand Hemant Soren dan pemimpin Rashtriya Janata Dal Tejashwi Yadav.
Menurut pemimpin pembangkang mereka "terkejut dengan sikap berdiam diri" Perdana Menteri Narendra Modi berhubung keganasan komunal oleh "perusuh persendirian bersenjata".
-- BERNAMA
#pembangkang #India #keganasan #Islam #Hindu
;