Parti pembangkang India mahu Adani Group disiasat
Bernama
Februari 2, 2023 05:00 MYT
Februari 2, 2023 05:00 MYT
NEW DELHI: Parti-parti pembangkang India pada Khamis menuntut siasatan dijalankan terhadap Adani Group yang didakwa oleh Hinderburg Research melakukan salah laku dan menyebabkan urus niaga saham syarikat itu kucar-kacir.
Tuntutan parti pembangkang supaya isu itu dibincangkan di parlimen ditolak.
Presiden parti Kongres Mallikarjun Kharge memberitahu pemberita di New Delhi bahawa pembangkang mahu siasatan ke atas krisis Adani sama ada oleh Jawatankuasa Bersama Parlimen atau di bawah pengawasan Mahkamah Agung kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Kharge yang mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti, berkata "berjuta-juta" pendeposit dan pemegang polisi insurans melalui institusi kewangan dan bank terdedah kepada pergolakan Adani Group.
Hindenburg Research yang berpangkalan di New York mendakwa Adani melakukan manipulasi saham, penipuan perakaunan dan penyalahgunaan syarikat yang beroperasi di luar negara untuk manfaat percukaian yang lebih rendah.
Konglomerat India milik jutawan Gautam Adani menyangkal dakwaan berkenaan dan menyifatkan laporan Hindenburg pada 24 Januari itu sebagai "berniat jahat."
Saham syarikat utamanya Adani Enterprises dan enam entiti tersenarai lain sekali lagi mengalami kemerosotan di pasaran, menjadikan kerugian saham kepada lebih AS$100 bilion dalam tempoh kira-kira seminggu.
Saham Adani Enterprises menjunam 26.5 peratus pada Khamis manakala saham Adani Total Gas, Adani Green Energy dan Adani Transmission masing-masing merosot 10 peratus dan saham tiga syarikat lain juga mengalami kerugian.
Adani Enterprises pada Rabu membatalkan penjualan saham AS$2.5 bilion susulan "situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini selain turun naik pasaran semasa."
-- BERNAMA