Parti Move Forward Thailand fail usul sekat kuasa senator yang dilantik

Bernama
Julai 15, 2023 12:17 MYT
Pita Limjaroenrat, pemimpin Parti Move Forward, bercakap kepada pemberita ketika ketibaannya di Parlimen, di Bangkok, Thailand, Khamis, 13 Julai 2023. -Gambar fail/AP
BANGKOK: Parti Move Forward (MFP) Thailand memfailkan usul di Parlimen untuk menyekat kuasa 250 anggota senator yang dilantik selepas ketua parti itu Pita Limjaroenrat kalah dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri.
Setiausaha Agung parti Chaithawat Tulathon memfailkan usul pada Jumaat untuk meminda Perkara 272 Perlembagaan.
Jika berjaya, pindaan itu akan menghapuskan kuasa senator untuk bersama-sama dengan ahli Parlimen mengundi jawatan perdana menteri.
"Pindaan itu akan mengembalikan kuasa memilih perdana menteri kepada rakyat," katanya.
Pada Khamis, Pita gagal memperoleh sokongan lebih separuh daripada 749 Ahli Parlimen.
Walaupun menjadi calon tunggal untuk jawatan itu, Pita berdepan ujian getir mendapatkan 375 undi yang diperlukan.
Beliau sebaliknya hanya mendapat 324 undi manakala 199 berkecuali.
Seramai 44 Ahli Parlimen tidak hadir pada persidangan itu.
Hanya 13 daripada 249 senator (seorang meletak jawatan pada hari Rabu) menyokong Pita manakala selebihnya mengundi menentangnya atau berkecuali.
MFP percaya senator mungkin bertindak di bawah tekanan.
Sementara itu, Speaker Wan Muhamad Noor Matha mengumumkan pengundian pusingan kedua untuk memilih perdana menteri akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 19 Julai.
Beliau enggan mengulas sama ada Pita boleh dicalonkan semula selepas ditetapkan semula pada Khamis.
"Terpulang kepada mesyuarat parlimen untuk memutuskan... Kita perlu merujuk peraturan dan Perlembagaan serta mendengar keputusan mesyuarat," katanya.
MFP, yang memenangi 151 kerusi pada pilihan raya umum 14 Mei dan memperoleh lebih 14.2 juta undi, mengetuai gabungan lapan parti yang bersama-sama memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.Bagaimanapun, gabungan itu masih memerlukan 63 undi kerana 249 senator yang dilantik oleh junta mungkin menjadi batu penghalang dalam usaha Pita untuk menjadi perdana menteri.
Sementara itu, pemimpin Pheu Thai Cholnan Srikaew berkata bahawa parti itu kekal dengan gabungan lapan parti sedia ada yang diketuai oleh Parti Move Forward.
"Tiada Pelan B untuk mengundi perdana menteri baharu," katanya. Pheu Thai ialah parti kedua terbesar di parlimen, dengan 141 kerusi.
-- BERNAMA
#Parti Move Forward #Thailand #Pita Limjaroenrat #Chaithawat Tulathon
;