Parti Kongres kalahkan Parti BJP pimpinan Narendra Modi dalam pilihan raya negeri
Bernama
Mei 13, 2023 22:30 MYT
Mei 13, 2023 22:30 MYT
NEW DELHI: Parti pembangkang utama di India, Parti Kongres, menumpaskan parti pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) dalam pilihan raya negeri di Karnataka pada Sabtu.
Berdasarkan trend pengiraan undi semasa, Kongres Kebangsaan India memenangi 117 kerusi dan mendahului di 19 kerusi lain manakala BJP memperoleh 53 dan mendahului di 11 kawasan pilihan raya.
Sesebuah parti memerlukan 113 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah dalam badan perundangan 224 ahli.
Janata Dal (Sekular) diunjur memenangi 20 kerusi.
"Ini benar-benar kemenangan rakyat Karnataka. Mereka mengundi untuk masa depan yang progresif, kebajikan dan keadilan sosial," kata presiden Kongres Mallikarjun Kharge yang berasal dari Karnataka.
Pemimpin Kongres, Rahul Gandhi, banyak berkempen di negeri yang merupakan kubu kuat dengan Perdana Menteri Narendra Modi dan Menteri Dalam Negeri Amit Shah menjadi pemimpin pilihan parti BJP.
"Kuasa orang miskin mengalahkan kuasa rakan kapitalis BJP," kata Rahul.
Negeri diperintah BJP itu yang juga hab perniagaan dan teknologi India Bangalore, mencatatkan 73 peratus pengundi keluar mengundi pada Rabu.
Kongres memperoleh manfaat daripada Bharat Jodo Yatra atau perarakan perpaduan sejauh 3,500 kilometer Jodo Yatra" Rahul yang mendapat sambutan di wilayah selatan.
Kemenangan di Karnataka akan menguatkan lagi semangat parti itu untuk mencabar BJP nasionalis Hindu dalam pilihan raya parlimen tahun depan.
Karnataka menyaksikan retorik perpecahan yang meluas sebelum pilihan raya dan sepanjang kempen.
Pemimpin Kongres menyasarkan BJP dalam isu rasuah, menuduhnya sebagai kerajaan "komisyen 40 peratus" di negeri itu.
BJP memenangi 104 kerusi dalam pilihan raya DUN 2018, diikuti Kongres 80 dan Janata Dal 37 kerusi.
Parti pembangkang lain juga teruja dengan kemenangan Kongres.
Ketua menteri Tamil Nadu M.K. Stalin melihatnya sebagai penolakan terhadap apa yang disebutnya sebagai "politik dendam" BJP.
Pemimpin Parti Samajwadi Akhilesh Yadav, yang berpangkalan di negeri paling ramai penduduk Uttar Pradesh berkata pengundi Karnataka telah menolak politik negatif dan perkauman.
Ia keputusan "menentang inflasi, pengangguran, rasuah dan permusuhan," katanya.-- BERNAMA