Parti Imran Khan dilarang bertanding PRU Pakistan
Bernama
Januari 14, 2024 19:45 MYT
Januari 14, 2024 19:45 MYT
ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan melarang parti bekas perdana menteri Imran Khan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, keputusan yang dilihat memberi tamparan hebat kepada parti yang masih popular dalam kalangan rakyat itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam keputusan yang diumumkan sekitar tengah malam, mahkamah itu melarang parti Khan daripada menggunakan simbol parti itu iaitu kayu kriket pada kertas undi kerana gagal mengadakan pemilihan parti yang diwajibkan.
Keputusan itu bermakna ratusan calon Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) perlu bertanding sebagai calon bebas dan menggunakan simbol yang berbeza.
Langkah itu mungkin menyukarkan lebih 100 juta pengundi yang layak untuk memilih parti pilihan mereka pada PRU yang dijadualkan pada 8 Feb.
Sementara itu pemimpin dan ahli PTI mengutuk keputusan itu.
"Keputusan oleh mahkamah tertinggi telah mencemarkan pilihan raya palsu ini dengan lebih teruk lagi," menurut Zulfi Bukhari, pemimpin kanan PTI dan pembantu rapat bekas perdana menteri Khan dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa pilihan raya di Pakistan pada bulan lepas menolak kertas pencalonan Khan untuk PRU akan datang.
-- BERNAMA