Parti Emmanuel Macron hilang majoriti, risiko Parlimen tergantung
Astro Awani
Jun 20, 2022 10:15 MYT
Jun 20, 2022 10:15 MYT
KURANG dua bulan selepas dipilih semula sebagai Presiden Perancis, Emmanuel Macron hilang majoriti mutlak ke atas Dewan Rakyat dalam pusingan kedua pilihan raya umum pada Ahad.
Pakatan Ensemble pimpinannya, yang berhasrat meningkatkan umur persaraan dan mengukuhkan lagi integrasi Kesatuan Eropah (EU), hanya menang 245 kerusi, menurut keputusan yang diumumkan awal pagi tadi.
Ini bermakna, ia gagal menguasai 289 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti dalam Dewan yang dibarisi 577 ahli itu.
Keputusan penuh Pilihan Raya Parlimen menyaksikan pakatan berhaluan kiri yang baru dibentuk serta pesaing berhaluan kanan meraih kejayaan.
Situasi Parlimen tergantung itu menimbulkan keadaan tidak menentu yang mungkin hanya dapat diselesaikan menerusi perkongsian kuasa dengan parti lain.
Sebelum ini, Macron mempunyai lebih 300 kerusi di Parlimen.
"Keputusan ini merupakan satu risiko untuk negara kita memandangkan cabaran yang perlu kita hadapi," kata Perdana Menteri Elisabeth Borne, sambil menambah bahawa mulai Isnin, kem Macron akan berusaha mencari pakatan baharu.
Menteri Kewangan Bruno Le Maire pula menyifatkan keputusan itu sebagai "kejutan demokratik" dan menambah bahawa jika blok lain tidak bekerjasama, ia akan menyekat keupayaan untuk melakukan pembaharuan dan melindungi Perancis.
Sebuah Parlimen yang tergantung akan memerlukan rundingan dan kompromi dilakukan dengan parti lain namun jika tiada persetujuan dicapai dan berlaku kebuntuan politik, Macron boleh memanggil pilihan raya mengejut.
Kali terakhir presiden yang baru dipilih gagal mendapat majoriti langsung dalam pilihan raya Parlimen adalah pada 1988.
April lalu dalam pusingan pertama pilihan raya, rakyat Perancis memilih mengekalkan Macron sebagai Presiden bagi meneruskan penggal baharunya selama lima tahun lagi.
Macron meraih 58 peratus undian pada pusingan kedua Pilihan Raya Presiden 2022 berbanding pencabarnya, Marine Le Pen dengan 41 peratus undian.