Parlimen Thailand bersidang, bincang gerakan pro-demokrasi

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 26, 2020 23:21 MYT
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-Ocha pada minggu lalu memanggil sidang parlimen, membincangkan untuk mengurangkan tekanan yang berlaku. - Gambar REUTERS
BANGKOK: Parlimen Thailand dibuka pada Isnin untuk sesi khas bagi membincangkan gerakan pro-demokrasi yang semakin meningkat dengan menuntut pengunduran Perdana Menteri, Prayut Chan-Ocha dan pembaharuan kepada sistem monarki.
Prayut, bekas ketua angkatan tentera yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014 itu berdepan tekanan sejak beberapa minggu lalu oleh penunjuk perasaan yang menganggap beliau sebagai perdana menteri tidak sah.
Prayut pada minggu lalu memanggil sidang parlimen, membincangkan untuk mengurangkan tekanan yang berlaku.
Penunjuk perasaan menuntut Prayut meletak jawatan, mengubah perlembagaan ketenteraan tertulis dan menuntut kerajaan menghentikan gangguan terhadap parti lawan.
Bagaimanapun, menurut kenyataan Parlimen minggu lalu, sesi khas itu tidak akan membincangkan tuntutan penunjuk perasaan, sebaliknya memfokuskan mengenai kegiatan haram penunjuk perasaan.
Ketegangan di Bangkok meningkat awal bulan ini apabila penunjuk perasaan turun dijalanan dan merebak ke beberapa daerah di Thailand.
Susulan itu, kerajaan melakukan langkah kecemasan dengan melarang perhimpunan lebih daripada empat orang dan beberapa aktivis turut ditahan pihak berkuasa.
Langkah itu bagaimanapun dibatalkan seminggu kemudian selepas ia gagal membendung lebih 10,000 penunjuk perasaan yang hadir secara mega di seluruh Bangkok.
#Thailand #Bangkok #Perdana Menteri #Penunjuk perasaan #perhimpunan #protes #Parlimen #prayut chan-ocha
;