Parlimen North Macedonia lantik Mickoski sebagai perdana menteri baharu

Bernama
Jun 24, 2024 10:45 MYT
Mickoski (depan, tengah) bergambar bersama anggota kabinetnya selepas parlimen melantik kerajaan baru, di bangunan parlimen di Skopje, North Macedonia, 23 Jun 2024. (Foto AP)
BUDAPEST: Ahli Parlimen North Macedonia pada Ahad melantik ketua parti VMRO-DPMNE Hristijan Mickoski sebagai perdana menteri yang baharu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Seramai 77 ahli Parlimen daripada 120 kerusi mengundi menyokong kerajaan baharu, manakala 22 menentang dan 21 lagi berkecuali.
VMRO-DPMNE pimpinan Mickoski memenangi pilihan raya parlimen pada Mei dan membentuk gabungan dengan perikatan Albania VLEN dan parti liberal ZNAM untuk memerintah.
Gabungan itu menggantikan Kesatuan Demokratik Sosial Macedonia (SDSM).
SDSM memerintah Macedonia sejak 2017, yang dinamakan semula sebagai North Macedonia pada 2019.
Negara itu menyertai NATO pada 2020 selepas kerajaan bekas perdana menteri Zoran Zaev menyelesaikan pertikaian nama dengan Greece.
Athens menuntut perubahan itu kerana sebuah wilayah di utara Greece dinamakan Macedonia.
-- BERNAMA
#North Macedonia #Perdana Menteri #VMRO-DPMNE #Pilihan Raya Parlimen
;