Parlimen Jepun akan pilih ketua LDP Ishiba sebagai PM baharu

Bernama
Oktober 1, 2024 11:57 MYT
Ishiba dijangka membubarkan Dewan Perwakilan tidak lama lagi untuk pilihan raya awal yang dijadual pada 27 Oktober. - Foto Reuters
TOKYO: Parlimen Jepun pada Selasa dijangka memilih ketua parti pemerintah baharu Shigeru Ishiba sebagai perdana menteri seterusnya pada masa keyakinan orang ramai yang rendah terhadap politik, ekonomi goyah dan ancaman keselamatan yang semakin meningkat, lapor Agensi Berita Kyodo.
Pencalonan Ishiba sebagai pengganti Fumio Kishida adalah pasti, memandangkan kedua-dua dewan parlimen di Jepun dikuasai oleh Parti Demokratik Liberal (LDP) dan rakan gabungannya, Komeito.
Beliau dijangka membubarkan Dewan Perwakilan tidak lama lagi untuk pilihan raya awal yang dijadual pada 27 Oktober.
Ishiba, bekas ketua pertahanan menang tipis dalam pemilihan presiden LDP dalam pusingan kedua pada Jumaat, berikrar untuk merombak parti yang terjejas oleh skandal dana politik.
Sebelum Ishiba dipilih sebagai perdana menteri dalam sesi luar biasa Diet, anggota Kabinet Kishida akan meletak jawatan secara keseluruhan.
Selepas disahkan, Ishiba akan membentuk Kabinet pada Selasa, memberikan jawatan utama menteri luar dan menteri pertahanan kepada dua penyokongnya yang berkongsi pandangan yang sama mengenai peranan dan tanggungjawab global Jepun.
Beberapa individu yang bertanding menentang Ishiba dalam pemilihan LDP juga dijangka menerima jawatan Kabinet.
Mengambil alih pucuk pimpinan LDP dalam percubaan kelimanya, Ishiba berdepan cabaran untuk membentuk kerajaan yang stabil dan mengurangkan pergeseran dalaman parti.
Ishiba memberikan dua bekas perdana menteri, Taro Aso dan Yoshihide Suga yang masih berpengaruh ke atas anggota LDP, masing-masing jawatan simbolik sebagai penasihat tertinggi dan naib presiden.
Ishiba telah menyatakan bahawa beliau tidak akan menyimpang daripada dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh Kishida, yang menumpukan kepada peningkatan gaji. Perdana menteri baharu itu menekankan bahawa adalah penting bagi Jepun untuk menggalakkan pertumbuhan gaji yang kukuh kerana penggunaan swasta kurang cergas, dan Bank of Japan perlu mengekalkan keadaan monetari yang akomodatif.
Dalam aspek pertahanan, Ishiba mahu mendesak untuk mewujudkan pengaturan keselamatan kolektif ala NATO di Asia di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara China dan Taiwan. Beliau juga menyuarakan kesediaan untuk mengkaji semula perjanjian Jepun-AS bagi menjadikan pakatan dua hala lebih setara.
Bagi barisan Kabinet, bekas ketua pertahanan Takeshi Iwaya akan memegang portfolio menteri luar, manakala Gen Nakatani sekali lagi akan memegang jawatan menteri pertahanan. Kedua-dua penggubal undang-undang itu memainkan peranan penting dalam memilih Ishiba sebagai ketua LDP.
Yoshimasa Hayashi, jurucakap kerajaan utama di bawah Kishida dan seorang daripada sembilan calon dalam pemilihan LDP, akan mengekalkan jawatan sebagai ketua setiausaha Kabinet.
Seorang lagi calon, bekas menteri kesihatan Katsunobu Kato bakal menjadi menteri kewangan.
Dalam sesi Diet luar biasa yang dijangka berlangsung sehingga 9 Oktober, Ishiba dijangka menyampaikan ucapan dasar pada Jumaat. Selepas Dewan Rendah dibubarkan, kempen rasmi bagi pilihan raya umum dijangka bermula pada 15 Oktober.
Penggal semasa ahli Dewan Rendah tamat pada Oktober 2025. Pilihan raya sebelum ini diadakan pada Oktober 2021, sejurus selepas Kishida menjadi perdana menteri.
--BERNAMA-KYODO
#parlimen jepun #Perdana Menteri Jepun #Shigeru Ishiba #Parti Demokratik Liberal
;