Parlimen Israel lanjutkan undang-undang larang penyatuan semula keluarga Palestin
Bernama
Mac 7, 2023 13:14 MYT
Mac 7, 2023 13:14 MYT
BAITULMAQDIS: Knesset (Parlimen Israel) pada Isnin melanjutkan undang-undang yang menghalang penyatuan semula keluarga Palestin untuk tempoh setahun lagi.
Lanjutan undang-undang itu diluluskan dengan 20 undi menyokong manakala sembilan membantah, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Knesset.
Pertama kali digubal pada 2003 pada kemuncak intifada Palestin, undang-undang itu diperbaharu setiap tahun.
Perundangan itu khususnya menyasarkan rakyat Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis Timur atau di Israel dan berkahwin dengan rakyat Palestin sama ada dari Tebing Barat atau Gaza yang melarang keluarga berkenaan mendapatkan permit kediaman di Israel.
Di bawah undang-undang itu, menteri dalam negeri tidak dibenarkan memberikan kerakyatan atau tinggal di Israel untuk mana-mana rakyat dari Iraq, Iran, Syria dan Lubnan.
Ahli Arab Knesset, Iman Khatib-Yasin, menyifatkan pelanjutan undang-undang itu sebagai "amat bertentangan dengan demokrasi."
"Ia adalah tindakan perkauman demi untuk kepentingan sendiri.
"Setiap kali mereka perlu memperbaharu permit kediaman sementara, mereka bimbang mereka akan diberitahu untuk meninggalkan [Israel] dan dipisahkan daripada pasangan atau anak-anak mereka," katanya.
Menurut badan bukan kerajaan Palestin dan Israel, terdapat beribu-ribu keluarga Palestin yang terjejas akibat undang-undang itu.
-- BERNAMA