Parlimen Iran kecam pungutan suara Wilayah Kurdistan Iraq
Bernama
September 29, 2017 09:15 MYT
September 29, 2017 09:15 MYT
Parlimen Iran pada Rabu mengutuk pungutan suara kemerdekaan Wilayah Kurdistan Iraq dan menganggap langkah sedemikian membawa kerosakan kepada Iraq dan seluruh wilayah, kata agensi berita China Xinhua.
Anggota Parlimen Iran turut menyuarakan sokongan terhadap kerajaan Iraq yang menentang rancangan Wilayah Kurdistan untuk berpecah dari Iraq.
Sebarang tindakan yang mewujudkan krisis di Iraq akan membahayakan kemajuan demokrasi di negara Arab, kata parlimen itu dalam satu kenyataan.
Anggota Parlimen Iran turut menggesa pentadbiran negara itu meningkatkan kerjasama dengan Baghdad untuk menghalang apa yang dikatakan sebagai "peluasan pengaruh Israel di Iraq".
Pada Isnin, pengundi di kawasan wilayah Kurdistan termasuk di kawasan pertikaian antara Baghdad dan Erbil, mula mengundi dalam pungutan suara.
Keputusan rasmi dikeluarkan pada Rabu menunjukkan lebih 92 peratus undian meluluskan hasrat wilayah itu untuk mendapatkan kemerdekaan dari Iraq.
-- BERNAMA