Parlimen Iran bersidang nilai kelayakan Kabinet cadangan Pezeshkian
Bernama
Ogos 17, 2024 20:59 MYT
Ogos 17, 2024 20:59 MYT
TEHRAN: Parlimen Iran memulakan perbahasan selama beberapa hari untuk menilai kelayakan menteri Kabinet yang dicadangkan oleh Presiden baharu Masoud Pezeshkian.
Badan perundangan itu, yang dipanggil Majles, bersidang pada Sabtu untuk menilai kelayakan 19 menteri yang dicadangkan, menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Seramai 263 ahli parlimen hadir dalam sesi terbuka yang diketuai Speaker Mohammad Baqer Qalibaf, lapor agensi itu.
Sesi itu bermula dengan ucapan Pezeshkian, yang menurut peraturan Majles, diberi masa 150 minit untuk mempertahankan kabinetnya dan menghuraikan rancangan masa depannya untuk mentadbir negara.
Selepas ucapan presiden, lima ahli parlimen berucap menyokong kabinet yang dicadangkan, masing-masing diberi masa 15 minit. Lima lagi ahli parlimen berucap menentang kabinet, masing-masing dalam jangka masa yang sama iaitu 15 minit.
Selain itu, jawatankuasa khusus Majles akan membentangkan laporan mereka mengenai rancangan yang mereka terima daripada menteri yang dicadangkan minggu lalu, diikuti dengan ucapan oleh empat ahli parlimen, dua menyokong dan dua menentang, mengenai rancangan menteri berkenaan.
Presiden atau menteri yang dicadangkannya juga akan diberi masa untuk mempertahankan rancangan mereka.
Majles dijangka menyelesaikan proses menilai kelayakan menteri menjelang Rabu apabila ahli parlimen akan memutuskan untuk memberikan undi percaya mereka kepada kabinet yang dicadangkan, menurut IRNA.
-- BERNAMA