Parlimen India dijangka luluskan GST
Agensi
Ogos 3, 2016 16:42 MYT
Ogos 3, 2016 16:42 MYT
Menteri Kewangan India, Arun Jaitley kini menjadi tumpuan di Parlimen negara itu berikutan usaha pengenalan reformasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terbesar sejak negara itu menyambut kemerdekaan.
GST itu akan menggantikan konsep cukai di peringkat Pusat dan Negeri-Negeri berkaitan barangan dan perkhidmatan, satu reformasi terbesar yang cuba dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi sejak mengambilalih jawatan pada Mei 2014.
Cubaannya itu mendapat tentangan hebat dari parti Pembangkang terbesar, Parti Kongres yang berulang kali cuba menghalang daripada usul itu dibahaskan di Parlimen.
Ia bagaimanapun dipersetujui selepas beberapa pindaan dibuat terhadap Rang Undang-Undang GST itu.
“Ia adalah reformasi percukaian terbesar sejak kemerdekaan,” Jaitley memaklumkan kepada media.
“Ia akan mengintergrasikan ekonomi sebagai satu entiti ... dengan India adalah satu pasaran yang besar, ia akan membantu melancarkan urusan perdagangan barangan dan perkhidmatan di seluruh negara ,” katanya lagi.
Kerajaan menyasarkan April tahun depan sebagai tarikh pelaksanaan GST.
Rang Undang-Undang itu dijangka diluluskan Dewan tertinggi Parlimen India pada Rabu dengan peruntukan untuk meminda perlembagaan negara itu bagi membolehkan ia dilaksanakan.
Bagaimanapun 29 negeri perlu meluluskan undang-undang itu sebelum ia termaktub sebagai satu undang-undang.
Meskipun kadar sebenar GST yang akan dilaksanakan masih dalam perbincangan, para pakar ekonomi meramalkan ia dalam lingkungan 18 peratus.