Parlimen Greece gagal pilih presiden baharu dalam undian pusingan kedua

Bernama
Januari 31, 2025 21:26 MYT
Tiada calon memperoleh majoriti yang diperlukan. Pusingan seterusnya bagi pemilihan Presiden Republik akan diadakan pada 6 Februari. - www.thisisathens.org
MOSCOW: Parlimen Greece gagal memilih presiden baharu pada Jumaat selepas tiada seorang pun daripada empat calon memperoleh majoriti dua per tiga dalam pusingan kedua pengundian, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Tiada calon memperoleh majoriti yang diperlukan. Pusingan seterusnya bagi pemilihan Presiden Republik akan diadakan pada 6 Februari," kata Speaker Parlimen, Nikitas Kaklamanis.
Calon daripada parti pemerintah New Democracy, Konstantinos Tasoulas memperoleh 160 undi dalam parlimen yang mempunyai 300 kerusi. Calon parti pembangkang PASOK, Tasos Giannitsis mendapat 34 undi, sementara Louka Katseli dari SYRIZA yang disokong "New Left" memperoleh 40 undi. Penulis Kostas Kyriakou daripada Parti Niki pula meraih 14 undi. Seramai 52 ahli parlimen tidak mengundi.
Ini merupakan pusingan kedua daripada lima pusingan yang boleh diadakan. Dalam pusingan ketiga pada 6 Februari, calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya 180 undi untuk dipilih. Jika gagal, ambang kemenangan akan dikurangkan kepada majoriti mudah (151 undi). Pusingan kelima dan terakhir akan menentukan pemenang berdasarkan majoriti mudah. Jika terdapat keputusan seri, calon dengan undian tertinggi dalam pusingan pertama akan diisytiharkan menang.
Dengan parti konservatif New Democracy menguasai 256 kerusi, calonnya dijangka menang dalam pusingan keempat dan menggantikan Presiden Katerina Sakellaropoulou, yang penggalnya berakhir pada 13 Mac.
Sistem pemilihan ini diperkenalkan menerusi pindaan perlembagaan pada 2019. Sebelum ini, jika tiada calon dipilih selepas tiga pusingan, parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya awal akan diadakan, dengan badan perundangan baharu bertanggungjawab memilih presiden.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
#Greece #Parlimen #presiden baharu #majoriti dua per tiga #pengundian
;