Parlimen ditutup, dua wakil rakyat pembangkang Maldives ditahan
Agensi
Februari 4, 2018 23:21 MYT
Februari 4, 2018 23:21 MYT
Pasukan keselamatan Maldives telah menutup dan mengepung Parlimen serta menahan dua wakil rakyat pembangkang negara itu susulan krisis politik melibatkan Presiden Abdulla Yameen.
Penutupan Parlimen terbabit dibuat selepas anggota pembangkang menghantar petisyen bagi mendesak pemecatan Peguam Negara dan Pendakwaraya Negara yang disifatkan bersekongkol dengan Abdulla Yameen.
Selain itu, Abdulla Yameen dikatakan telah menyalahgunakan kuasanya sebagai presiden dengan menyekat kebebasan bersuara ahli Parlimen pembangkang yang mendesak pembebasan sembilan ahli politik pembangkang yang dipenjarakan.
Dua ahli Parlimen terbabit yang ditahan pada Ahad ketika tiba di lapangan terbang Maldives adalah Abdulla Sinan dan Ilham Ahmed.
Kedua-duanya didakwa atas pertuduhan rasuah.
Sementara itu, ketua pembangkang Ibrahim Mohamed Solih, menyeru pihak polis agar segera melepaskan ahli-ahli Parlimen terbabit dan berhenti mengikuti perintah yang menyalahi undang-undang yang dibuat Abdulla Yameen.