Parlimen China luluskan pindaan, Xi Jinping kini presiden paling berkuasa sejak Mao

Agensi
Mac 11, 2018 19:24 MYT
Hanya dua undian menolak sewaktu proses undian oleh 3,000 anggota dijalankan dengan tiga berkecuali. - Gambar fail
Parlimen China hari ini meluluskan pindaan perlembagaan yang menarik balik had masa pemerintahan seseorang presiden di negara itu.
Tindakan membolehkan presiden Xi Jinping kekal di kerusinya untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan, sekaligus membuktikan beliau adalah salah eorang pemimpin paling berpengaruh sejak zaman pemimpin tertinggi China, Mao Zedong dalam sejarah 40 tahun.
Parti pemerintah, Parti Komunis mengumumkan cadangan pindaan perlembagaan itu bulan lalu dan tiada sebarang keraguan ia akan diluluskan oleh anggota parti di parlimen.
Pindaan juga merangkumi pemikiran politik Xi yang harus diserapkan dalam perlembagaan republik itu, selepas perkara itu dimasukkan ke dalam piagam parti itu Oktober tahun lalu sewaktu kongres berlangsung.
Hanya dua undian menolak sewaktu proses undian oleh 3,000 anggota dijalankan dengan tiga berkecuali.
Xi yang terlebih dahulu membuang undi diikuti enam anggota Majlis Tertinggi parti dan diikuti ahli parti yang lain.
Dewan menjadi gegak gempita sejurus keputusan diumumkan. Xi bagaimanapun tidak menyampaikan sebarang ucapan di parlimen.
Xi memulakan penggal kedua sebagai pemimpin Parti Komunis China pada Oktober tahun lalu dan dijangka akan dilantik sebagai presiden untuk penggal kedua pada hujung minggu ini.
#China #Mao Zedong #Pari Komunis #Parlimen #politik #presiden #Xi Jinping
;