Parlimen bubar, Israel berdepan pilihan raya umum keempat dalam tempoh 2 tahun

Astro Awani
Disember 23, 2020 08:06 MYT
Israel akan mengadakan pilihan raya keempat dalam tempoh dua tahun pada bulan Mac tahun hadapan setelah Parlimen gagal meluluskan Belanjawan. Tertera gambar fail Benjamin Netanyahu.
TEL AVIV: Israel akan mengadakan pilihan raya keempat dalam tempoh dua tahun pada bulan Mac tahun hadapan setelah Parlimen gagal meluluskan Belanjawan.
Parti Likud yang diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan rakan gabungannya parti Biru dan Putih yang dipimpin Menteri Pertahanan Benny Gantz gagal mencapai kata sepakat untuk meluluskan Belanjawan pada masa yang ditetapkan.
Oleh kerana Belanjawan tidak dapat diundi hari ini, Parlimen terbubar secara sah dan proses pemilihan awal kini dimulakan.
Kerajaan gabungan Netanyahu-Gantz terbentuk pada bulan Mei setelah keputusan tiga pilihan raya terdahulu yang diadakan sejak April 2019 tidak meyakinkan.
Ketika Netanyahu hanya mahu Belanjawan 2020 diluluskan, Gantz pula mahu anggaran 2021 dimasukkan dalam undian.
Disebabkan perselisihan faham kedua-dua pemimpin, sesi pada Ogos tidak membuahkan hasil dan undian Belanjawan 2020 ditangguhkan ke bulan Disember.
Mengikut undang-undang, jika Belanjawan untuk 2020 tidak disahkan oleh Parlimen pada 23 Disember, pilihan raya awal wajib diadakan.
#Benjamin Netanyahu #Perdana Menteri #pilihan raya umum keempat #dalam tempoh dua tahun #Benny Gantz
;