Parlimen Britain bincang kemungkinan batal Brexit

Astro Awani
April 1, 2019 23:31 MYT
Sepanduk dengan wajah-wajah Ahli Parlimen Britain, Jacob Rees-Mogg, Jeremy Corbyn, Theresa May dan Chris Grayling dibuat kumpulan anti Brexit diletakkan di luar bangunan Parlimen, di London, 1 April, 2019. (Foto AP)
Parlimen Britain kini membincangkan kemungkinan untuk membatalkan Brexit.
Tindakan ini susulan sejumlah 6 juta individu menyokong petisyen yang mahu Britain membatalkan hasrat meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Petisyen atas talian bagi membatalkan Artikel 50 itu bermula apabila Perdana Menteri Theresa May mengeluarkan kenyataan bahawa beliau menyebelahi penduduk Britain.
Pada 2016, 52 peratus penduduk Britain mengundi untuk keluar dari EU (langkah Brexit), berbanding 48 peratus yang mahu kekal.
Setahun kemudian, secara rasmi May mengemukakan notis di bawah Artikel 50 Perjanjian Lisbon EU.
Namun, berdasarkan perkembangan semasa, proses perpisahan EU dan Britain sehingga kini tidak memberangsangkan.
Tiga perjanjian Brexit gagal mendapat sokongan hingga menyebabkan pengunduran Britain dari EU mungkin ditunda sehingga 12 April.
Kerajaan May dalam pada itu menegaskan, pihaknya tidak akan membatalkan Artikel 50.
#Brexit #Britain #British #EU #kerajaan #Kesatuan Eropah #Parlimen #Theresa May