Parlimen ASEAN digesa tingkat kerjasama perdagangan, pelancongan dan transformasi digital
Bernama
Oktober 19, 2024 06:15 MYT
Oktober 19, 2024 06:15 MYT
VIENTIANE: Anggota Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) perlu meningkatkan kerjasama dalam infrastruktur, perdagangan, pelancongan dan transformasi digital untuk memacu ketersambungan serantau, memupuk pertumbuhan inklusif, dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk kemajuan sosioekonomi.
Bercakap pada Sidang Pleno Pertama AIPA ke-45 di sini hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menekankan bahawa usaha sedemikian adalah penting, antara lain dalam membina rangkaian pengangkutan, grid tenaga dan infrastruktur digital, yang membentuk tulang belakang ketersambungan serantau.
"Melalui fungsi perundangan, penyeliaan dan perwakilan, kami mempunyai keupayaan untuk memacu ketersambungan serantau, memupuk pertumbuhan inklusif dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk kemajuan ekonomi dan sosial.
"Dengan menyelaraskan undang-undang di seluruh ASEAN, parlimen memudahkan perdagangan, pelaburan dan pergerakan rakyat, menyokong ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu," katanya yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke AIPA.
Bertemakan "Peranan Parlimen dalam Meningkatkan Ketersambungan dan Pertumbuhan Inklusif ASEAN", Perhimpunan Agung selama empat hari yang diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, menghimpunkan penyertaan delegasi daripada ahli parlimen, pemerhati dan rakan pembangunan AIPA.
Johari yang akan memegang jawatan Presiden AIPA pada 21 Okt, menggariskan pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi, menyokong peraturan visa dan peningkatan rangkaian pengangkutan yang lebih baik untuk meningkatkan daya tarikan ASEAN sebagai destinasi global terkemuka.
Mengenai tadbir urus, Johari menekankan kepentingan penyeliaan parlimen dalam memastikan ketelusan, kecekapan, dan kepercayaan awam, sambil menyatakan bahawa ia memainkan peranan penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan memerangi rasuah.
"Sebagai wakil rakyat, kami mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memperjuangkan suara mereka dan melindungi kepentingan mereka," katanya sambil menyeru dasar yang memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Johari turut menekankan keperluan untuk merapatkan jurang digital, menggesa pelaburan dalam infrastruktur digital luar bandar dan menggalakkan celik digital untuk memastikan akses yang saksama kepada teknologi dan manfaatnya.
"Revolusi digital menawarkan peluang sekali dalam sesuatu generasi untuk mewujudkan masa depan yang lebih adil dan dengan bertindak tegas, kita dapat memastikan tiada siapa yang ketinggalan dan teknologi menjadi pemacu kemajuan dan keterangkuman di seluruh ASEAN," katanya.
Terdahulu, Presiden Dewan Rakyat Laos dan Presiden AIPA-45 Xaysomphone Phomvihane dalam ucapan perasmiannya menegaskan kepentingan AIPA sebagai forum untuk bertukar-tukar hala tuju strategik bagi merealisasikan matlamat bersama AIPA dan ASEAN.
"AIPA-45 berlangsung di tengah-tengah perkembangan yang rumit dan tidak dapat diramalkan di rantau ini dan dunia, termasuk beberapa masalah penting seperti konflik di banyak tempat, perubahan iklim, bencana alam serta krisis ekonomi dan kewangan.
"Berhadapan dengan kesukaran dan cabaran yang belum pernah terjadi, kerjasama terus dihargai dan menjadi trend utama dalam hubungan antara negara," katanya.
Beliau berkata trend perpaduan dan kerjasama jelas ditunjukkan melalui usaha ASEAN dalam melaksanakan Visi Komuniti ASEAN 2025, Pelan Induk Komuniti ASEAN 2025, Pelan Induk Ketersambungan ASEAN 2025, dan Pelan Kerja Inisiatif untuk Integrasi ASEAN (IAI).
Pada hari ini (Ahad), Johari dijadualkan menerima beberapa kunjungan hormat daripada delegasi AIPA dan negara pemerhati di NCC.
-- BERNAMA