Paris perketat keselamatan semasa lawatan Biden acara ulang tahun D-Day
Bernama
Jun 5, 2024 07:30 MYT
Jun 5, 2024 07:30 MYT
MOSCOW: Paris akan mengetatkan langkah keselamatan sepanjang beberapa hari akan datang berikutan lawatan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ke negara itu sempena ulang tahun ke-80 pendaratan D-Day tentera Berikat, kata prefektur polis Paris pada Rabu, lapor Sputnik.
Terdahulu pada Rabu, pesawat Biden mendarat di Lapangan Terbang Orly berhampiran Paris, menyaksikan Presiden AS itu disambut oleh Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal.
Biden akan menyertai acara memperingati ulang tahun ke-80 Pendaratan Normandy dan mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk membincangkan isu Ukraine, situasi di Timur Tengah dan isu iklim.
"Presiden dan Wanita Pertama Amerika Syarikat akan berada di Perancis dari 5 hingga 9 Jun 2024. Sehubungan itu, langkah-langkah keselamatan telah diambil oleh perkhidmatan prefektur polis," menurut kenyataan berkenaan.
Polis membenarkan "penggambaran, rakaman dan penyiaran imej yang dirakam oleh kamera yang dipasang pada pesawat" untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan serangan pengganas. Permit ini sah di Paris dari awal pagi 5 Jun sehingga 2 petang (1600GMT) pada 9 Jun, menurut kenyataan itu.
Permit serupa juga dibenarkan untuk kamera yang dipasang pada helikopter dari 9 pagi hingga 12 tengah malam Rabu ini untuk memastikan keselamatan konvoi kenderaan yang mengiring presiden semasa ketibaan Biden.
Permit itu sah untuk seluruh bandar Paris dan jabatan pinggir bandar Val-de-Marne, di mana Lapangan Terbang Orly terletak, menurut kenyataan itu.
Selain itu, perimeter keselamatan akan diwujudkan di beberapa daerah di Paris sepanjang lawatan Biden, termasuk sekatan jalan di pusat Paris sehingga Ahad dan di Avenue des Champs-Elysees pada Sabtu dari awal pagi hingga 11 malam, kata prefektur polis.
Mereka yang ingin memasuki bahagian bandar yang disekat perlu menjalani pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa undang-undang, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, stesen radio France Bleu melaporkan bahawa sekatan jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di pinggir bandar Paris dan di bahagian barat bandar.
Lalu lintas kini terhad di kedua-dua arah di beberapa lebuh raya dan di Boulevard Peripherique, menurut laporan itu.
-- BERNAMA