Para pemimpin yang digulingkan diarah lapor diri ke ibu pejabat Tentera Thai

Astro Awani
Mei 23, 2014 11:28 MYT
Para pemimpin yang digulingkan diarah lapor diri ke ibu pejabat Tentera Thai
Tentera junta Thai memanggil lebih seratus pemimpin negara itu yang digulingkan untuk melapor diri ke pejabatnya di Bangkok, selepas melakukan rampasan kuasa pada Khamis.
Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan bahawa tindakan tentera mengambil alih pentadbiran negara dilakukan setelah keadaan huru-hara akibat ketidakstabilan politik berlanjutan sehingga beberapa bulan.
Selain itu juga, tentera turut mengisytiharkan perintah berkurung dari pukul 10 malam hingga 5 pagi di seluruh negara setelah rampasan kuasa dilakukan.
Rejim tentera yang diketuai Jeneral Prayut Chan-O-Cha menggantung kebanyakan perlembagaan, sekaligus mengundang teguran daripada Washington, Eropah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.
Setiausaha negara Amerika Syarikat, John Kerry berkata, AS menyokong pilihanraya awal dilakukan dan “tiada justifikasi” bahawa rampasan kuasa tidak akan mempunyai implikasi “negatif”.
Pentagon pula berkata mereka sedang menyemak semula kerjasama ketenteraan dengan Thailand.
Sementara itu, beberapa negara jiran Thailand seperti Malaysia dan Jepun turut mengeluarkan arahan kepada rakyatnya untuk berhati-hati atau menunda lawatan ke negara bergolak itu.
Enggan tunduk dengan tekanan negara luar, tentera telah mengeluarkan arahan kepada anggota kabinet yang digulingkan, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin parti Puea Thai yang telah berkuasa, untuk melaporkan kepada rejim baru di Bangkok pagi ini.
Bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra yang disingkirkan awal bulan ini turut diarah melaporkan diri bersama lebih seratus pemimpin yang lain daripada semua parti politik.
Ia bagaimanapun tidak dapat dipastikan alasan arahan itu dikeluarkan.
Krisis politik yang berpanjangan di Thailand antara seorang golongan elit yang berpangkalan di Bangkok bersama pengikutnya menentang keluarga mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Thaksin, seorang hartawan merangkap ahli politik yang popular telah disingkirkan daripada pemerintahan dalam rampasan kuasa pada tahun 2006.
Namun begitu, beliau masih lagi mendapat sokongan daripada warga Thailand yang berada di pedalaman utara Thailand.
Adiknya, Yingluck Shinawatra pula telah diarahkan untuk meletak jawatan setelah keputusan kontroversi mahkamah pada awal bulan lalu.
Sejak 1932, Thailand telah menyaksikan 12 rampasan kuasa tentera termasuk yang terbaru ini.
Klik untuk berita penuh.
#rampasan kuasa #tahan pemimpin #tentera #Thailand
;