Papua New Guinea akan pindahkan ribuan yang terjejas oleh tanah runtuh

Bernama
Jun 6, 2024 23:30 MYT
Penilaian geoteknikal yang dijalankan oleh pakar dari pasukan pertahanan New Zealand dan Australia mendapati bahawa zon bencana kekal tidak stabil. - Reuters
KERAJAAN Papua New Guinea pada Khamis mengumumkan bahawa mereka akan memindahkan penduduk yang terjejas dari lokasi bahaya tanah runtuh besar yang mengorbankan lebih daripada 2,000 orang.
Perdana Menteri James Marape mendedahkan rancangan untuk memindahkan 7,849 orang yang terjejas dari Zon Bencana Mulitaka ke lokasi sementara di dalam Wilayah Enga, lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata, pengurusan untuk penempatan semula kekal sedang dibuat, lapor media tempatan.
"Kerajaan akan memperoleh tanah jauh dari lokasi bencana, dan kami akan menempatkan orang ramai jauh dari kawasan yang tidak stabil," kata Marape.
Penilaian geoteknikal yang dijalankan oleh pakar dari pasukan pertahanan New Zealand dan Australia mendapati bahawa zon bencana kekal tidak stabil.
Pakar mencadangkan pemindahan dan perubahan infrastruktur di wilayah ini, termasuk pembinaan jalan pintas baharu, kerana jalan sedia ada yang terkubur di bawah runtuhan tetap terdedah kepada tanah runtuh tambahan.
Tanah runtuh yang berlaku sebelum subuh pada 24 Mei itu menimbus rumah, infrastruktur, dan tanah pertanian di bawah lapan meter tanah dan serpihan. Kerajaan Oceania itu menganggarkan lebih daripada 2,000 orang tertimbus di bawah tanah.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #Papua New Guinea #pindahkan penduduk #bencana alam #mangsa korban
;