Papan tanda di Korea Selatan guna Bahasa Melayu
Sinar Harian
Disember 29, 2022 07:15 MYT
Disember 29, 2022 07:15 MYT
SHAH ALAM : Korea Selatan merupakan antara lokasi pelancongan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Justeru, tidak hairanlah negara empat musim itu mula menggunakan Bahasa Melayu pada kebanyakan papan tanda di sesetengah lokasi tumpuan bagi memberi kemudahan kepada pelancong.
Menurut perkongsian dalam kumpulan Malay Dialects (Indonesia, Malaysian and Other Malay Variants), pengguna akaun Facebook, Zakaria Azizi berkongsi beberapa keping gambar papan tanda yang menggunakan Bahasa Melayu.
Ujarnya, Korea Selatan telah meletakkan beberapa bahasa pada papan tanda mereka iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Bahasa Indonesia dan Jepun bagi membantu pelancong asing yang berkunjung ke negara itu.
“Jumlah pelancong dari Malaysia dan Indonesia yang berkunjung ke Korea Selatan juga meningkat saban hari. Oleh itu, penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda di sana amat diperlukan,” kongsinya.
Tambah Zakaria, meskipun terdapat beberapa perkataan yang kurang tepat, usaha kerajaan Korea Selatan harus diberi pengiktirafan yang sewajarnya.
“Malah, mereka juga gembira dapat melakukan usaha ini bagi membantu penduduk Asia Tenggara yang melancong ke sana dan memerlukan maklumat mengenai kemudahan awam mereka,” katanya.
Untuk rekod, Bahasa Melayu merupakan bahasa keenam paling sering dituturkan di dunia dengan sebanyak 290 juta penduduk merentangi Selat Melaka, merangkumi pantai-pantai di Semenanjung Malaysia dan pantai timur Sumatera. - Sinar Harian