PAP lancar manifesto Pilihan Raya Umum 2015

Bernama
Ogos 29, 2015 21:50 MYT
LEE: Saya mengadakan pilihan raya sekarang untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakya
Apabila Singapura bersiap sedia bagi pilihan raya umum 11 Sept, setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Hsien Loong, pada Sabtu melancarkan manifesto parti.
Dengan slogan kempen, 'Bersama Anda, Untuk Anda, Bagi Singapura, perdana menteri berkata rakyat Singapura akan memilih barisan kepimpinan, kerajaan dan hala tuju masa depan negara pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata PAP bangga dengan peranan yang dimainkan dalam sejarah Singapura.
"Pada setiap pilihan raya, PAP memperbaharui pasukan kami, namun beberapa perkara tidak berubah. Singapura masih memerlukan kerajaan yang baik.
"Sebab itu, saya mengadakan pilihan raya sekarang, (iaitu) untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat," kata Lee pada pelancaran manifesto yang diadakan di Infinite Studios di sini.
Lee berkata parti itu memegang tanggungjawab yang berat dalam menyediakan pemimpin dan kepimpinan yang cemerlang dan perlu terus berbuat demikian.
"Tidak ada kumpulan atau parti yang berada dalam kedudukan untuk menyediakan kepimpinan yang baik. Itu sebabnya, saya mengadakan pilihan raya sekarang, untuk mendapatkan mandat baru dan kukuh untuk bekerja dengan anda, merealisasikan rancangan kami," katanya.
Lee menggesa semua calon sama ada dalam PAP atau pembangkang, ahli tunggal kawasan pilihan raya (SMC) atau kawasan perwakilan kumpulan (GRC) untuk berjuang mendapatkan kemenangan, dan menang besar untuk meyakinkan pengundi.
Beliau juga membayangkan kemungkinan besar Perdana Menteri seterusnya akan datang dari anggota-anggota Parlimen yang dipilih ke dalam Parlimen yang akan datang.
Pada pilihan raya ini, Perdana Menteri berkata rakyat Singapura akan memilih pasukan kepimpinan baharu bagi 15 hingga 20 tahun akan datang.
#Lee Hsien Loong #People's Action Party #pilihan raya #Singapura
;