Pantun politik Prabowo di Hari Buruh
Agensi
Mei 2, 2019 12:19 MYT
Mei 2, 2019 12:19 MYT
CALON presiden nombor 2 dalam Pemilihan Presiden 2019 (Pilpres 2019) Indonesia, Prabowo Subianto sifatkan seluruh buruh sebagai tulang belakang kejayaan di negara besar itu.
Menurut bekas jeneral tentera itu, sumbangan besar golongan buruh pada ekonomi Indonesia tidak boleh dinafikan.
“Kamu semua mengerahkan tenagamu, keringatmu, untuk memberikan kehidupan kepada keluargamu setiap hari.
"Oleh kerana itu, layaklah kamu kami gelarkan sebagai tulang belakang rakyat Indonesia," tegas Prabowo dalam ucapannya sempena sambutan Hari Buruh di Pusat Tenis Tertutup Senayan, Jakarta pada Rabu.
Memetik laporan portal berita Tempo, Prabowo juga menghormati golongan kaya di negara itu yang memperoleh kekayaan hasil usaha sendiri.
Namun, dalam masa sama, Prabowo turut menyelitkan sindiran kepada golongan berkenaan.
“Jika mereka menjadi kaya kerana menipu rakyat, jika mereka menjadi kaya kerana menipu, membelot hutang di bank rakyat, maka itu kita sebut sebagai pengkhianatan terhadap bangsa dan negara,” ujar beliau lagi.
Dalam perhimpunan bersama buruh, Prabowo pada awalnya berhasrat menciptakan suasana pertemuan yang serius tapi santai.
Sehubungan itu, beliau memulakan ucapannya dengan 'menghadiahkan' beberapa rangkap pantun untuk mewujudkan suasana santai dalam kalangan para buruh yang hadir.
Pantun politik empat rangkap pertama yang disampaikan Prabowo mendapat sorakan yang gemuruh daripada para buruh.
"Di sini gunung, di sana gunung,
Di tengah-tengah Pulau Bali,
Saudara-saudara jangan pernah bingung,
Yang pasti menang Prabowo-Sandi."
Teruja dengan reaksi spontan golongan buruh, Prabowo meneruskan ucapan dengan dua lagi rangkap pantun.
"Satu dua cempaka biru,
Tiga empat dalam jambangan,
Percayalah, yang bela kebenaran,
Dia yang akan dapat kemenangan."
"Rawe-rawe rantas,
Malang-malang putung,
Mereka yang curang,
Akhlaknya seperti lutung."
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Perhimpunan Nasional Kesatuan Sekerja Indonesia (KSPI), Didi Supriadi mencadangkan para buruh supaya bersiap sedia untuk melantik Prabowo Subianto sebagai Presiden walaupun Komisi Pemilihan Umum (KPU) belum mengumumkan keputusan rasmi Pilpres 2019.