Panjat sayap pesawat ketika hendak berlepas

Agensi
Julai 20, 2019 15:58 MYT
Seorang lelaki yang bertindak memanjat sayap sebuah kapal terbang yang sudah bersedia untuk berlepas di Lagos, Nigeria pada Jumaat. - Foto Instagram @airazman
Seorang lelaki yang bertindak memanjat sayap sebuah kapal terbang yang sudah bersedia untuk berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed di Lagos, Nigeria ditahan pihak berkuasa, pada Jumaat.
Lelaki yang tidak dinyatakan identitinya itu berjalan masuk ke landasan tanpa menyedari perbuatannya dikesan oleh seorang juruterbang.
Juruterbang berkenaan kemudiannya mematikan enjin pesawat sementara lelaki berkenaan meninjau dan berjalan-jalan di sekitar pesawat, menurut Azman Air dalam satu kenyataan rasmi.
Difahamkan, lelaki itu kemudian melompat naik ke bahagian sayap pesawat dan cuba untuk memasuki kabin.
Perbuatan lelaki itu dimaklumkan kepada bahagian kawalan bagi mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku.
Sebuah video turut berjaya dirakamkan memaparkan lelaki berkenaan di bahagian sayap sebelum penumpang yang masih berada di dalam pesawat ketakutan dan meminta agar dibuka pintu kecemasan.
Kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan jadual penerbangan yang menuju ke Port Harcourt, namun kesemua penumpang diminta turun untuk diadakan pemeriksaan buat kali kedua.
#Azman Air #Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed #Nigeria #panjat sayap pesawat #pesawat #Port Harcourt