Pangkalan tentera Israel berjaya diserang - Hezbollah

Astro Awani
Oktober 1, 2024 05:45 MYT
Tiga pangkalan tentera Tel Aviv menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik Iran itu. - Foto X/Iran Military
SEORANG pegawai kanan Hezbollah memberitahu Al Jazeera, serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran disifatkan sebagai berjaya dan beberapa pangkalan tentera Israel telah diserang seperti yang dirancang.
Pegawai yang enggan namanya disiarkan berkata, kadar pemintasan oleh sistem pertahanan peluru berpandu Israel adalah "lemah" serta menegaskan, terdapat sejumlah tentera Israel yang terkorban dalam serangan itu.
Angkatan Pertahanan Israel sering menapis maklumat berhubung sebarang kerosakan yang berlaku pada fasiliti mereka.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan, tiga pangkalan tentera Tel Aviv menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik Iran itu.
Serangan itu, disertai dengan serangan siber berskala besar, juga menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik Fatah baharu Iran buat kali pertama, menurut media negara Iran.
Pada Selasa, Iran dilaporkan melancarkan 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan zionis terhadap sekutunya, Hezbollah di Lubnan.
#peluru berpandu balistik #Hezbollah #pangkalan tentera Israel #terkini
;