Panggung wayang di Shanghai dibuka semula
Agensi
Julai 20, 2020 20:30 MYT
Julai 20, 2020 20:30 MYT
Selepas beberapa bulan ditutup, penduduk di Shanghai, China kini dibenarkan untuk kembali menonton wayang memandangkan wilayah itu diisytiharkan sebagai kawasan berisiko rendah penularan COVID-19.
Bagaimanapun, pengunjung yang hadir ke panggung wayang perlu memakai pelitup muka, melakukan penjarakan sosial dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Di panggung Tianshan, filem tempatan berjudul 'A First Farewell' mula dipertontonkan kepada umum.
Pembukaan semula panggung wayang di China adalah salah satu sektor yang dibenarkan beroperasi semula selepas beberapa sekatan dilaksanakan di negara itu susulan penularan COVID-19.
Untuk rekod, aktiviti ekonomi di republik itu dilaporkan pulih secara beransur-ansur dan merekodkan 3.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkatkan secara tidak dijangka pada suku akhir selepas perintah berkurung ditarik semula.
Ia menjadikan China sebagai negara pertama yang merekodkan pertumbuhan ekonomi sejak penularan wabak itu di Wuhan.