Panggung bersejarah Shakespeare berdepan risiko ditutup

Agensi
Mei 20, 2020 12:53 MYT
Antara karya Shakespeare yang pernah dipentaskan di situ ialah 'Hamlet', 'King Lear', 'Macbeth' dan 'Othello'. - Instagram/Shakespeare's Globe
Panggung Teater Globe William Shakespeare, panggung teater London yang banyak mementaskan hasil karya penulis hebat itu, kini berdepan risiko terpaksa ditutup selepas beberapa bulan tidak beroperasi akibat wabak COVID-19.
Panggung bersejarah itu yang ditutup sementara sejak bulan Mac kini mengalami masalah kewangan paling kritikal sejak penubuhannya.
Teater Globe yang asal dibina oleh syarikat milik Shakespeare, Lord Chamberlain's Men, pada tahun 1599, tetapi musnah dalam kebakaran pada tahun 1613.
Replika panggung itu kemudiannya dibina pada tahun 1997, hanya beberapa meter dari tapak asal di tebing Sungai Thames.
Reka bentuknya hampir sama dengan bangunan asal, tetapi dimasukkan beberapa ciri moden.
Antara karya Shakespeare yang pernah dipentaskan di situ ialah 'Hamlet', 'King Lear', 'Macbeth' dan 'Othello'.
Lebih memburukkan keadaan, panggung itu tidak layak mendapat dana Majlis Kesenian, dan terpaksa menguruskan keseimbangan untuk bertahan dari segi kewangan dan dalam masa yang sama, berbakti kepada masyarakat sebagai sebuah pusat sejarah.
"Keadaan kami seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kami sepenuhnya bergantung pada pendapatan dari penjualan tiket dan aktiviti panggung seperti jualan barangan dan bengkel pendidikan," kata Pengarah Artistik The Globe, Michelle Terry kepada radio BBC.
Seorang Ahli Parlimen, Julian Knight, yang mengetuai jawatankuasa digital, budaya, media dan sukan di United Kingdom, memberi amaran bahawa penutupan panggung itu merupakan satu tragedi.
"Panggung ini sebuah institusi terkenal dan bukan hanya sebahagian daripada identiti kita, tetapi juga contoh utama sumbangan besar industri seni kepada ekonomi.
"Jika harta negara ini ditutup kerana tewas kepada COVID-19, ia memang sesuatu yang tragis," katanya.
#Hamlet #Julian Knight #King Lear #London #Lord Chamberlains Men #Macbeth #Michelle Terry #teater #Teater Globe #United Kingdom #William Shakespeare
;