Panggilan 911 dedah pembantu juruterbang mungkin terjun pesawat
Sinar Harian
Ogos 7, 2022 08:15 MYT
Ogos 7, 2022 08:15 MYT
MORRISVILLE: Rakaman perbualan panggilan kecemasan 911 yang dibuat oleh Pengawal Trafik Udara di sebuah lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa seorang pembantu juruterbang mungkin telah terjun dari pesawat yang rosak baru-baru ini.
Pembantu juruterbang itu, Charles Hew Crooks itu melompat dari sebuah pesawat ringan tanpa memakai peralatan payung terjun sebelum kapal terbang itu mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Raleigh-Durham, Morrisville.
Pesawat ringan yang dikendalikan oleh seorang lagi juruterbang mendarat cemas selepas roda kanannya mengalami kerosakan.
Juruterbang tersebut yang namanya tidak didedahkan mengalami kecederaan ringan.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Duke sebelum dibenarkan keluar selepas dirawat.
Mayat pembantu juruterbang itu ditemui di belakang rumah di bandar Fuquay-Varina, tidak jauh dari lapangan terbang tersebut.
Dia melompat dari ketinggian 1,066 meter.
Rakaman perbualan itu telah didedahkan oleh media AS dan para penyiasat belum mengesahkan sama ada Crooks sengaja melompat dari pesawat tersebut.
Siasatan pihak berkuasa tentang kejadian itu masih berlangsung. - Sinar Harian memetik agensi