Panel khas bermesyuarat bincang tarikh penurunan takhta Maharaja Akihito
Agensi
Disember 1, 2017 09:05 MYT
Disember 1, 2017 09:05 MYT
Satu panel khas akan bermesyuarat pada Jumaat untuk membincangkan tarikh penurunan takhta Maharaja Akihito – yang pertama seumpamanya dalam sejarah diraja Jepun setelah tempoh kira-kira dua kurun.
Perkara itu bagaimanapun perlu dibuat bagi membolehkan kerajaan membuat pengumuman rasmi tentang pengunduran maharaja.
Akihito, yang akan mencecah usia 84 pada 23 Disember nanti, berkemungkinan turun takhta pada 30 April 2019 sementara waris baginda, Putera Mahkota Naruhito, 57, mengambil alih pada hari keesokannya.
Panel Majlis Hal Ehwal Diraja yang terdiri daripada anggota 10 orang akan diketuai Perdana Menteri Shinzo Abe, selain disertai penggubal dasar, kerabat diraja dan hakim mahkamah tinggi.
Akihito, yang pernah menjalani pembedahan jantung dan rawatan kanser prostat, dalam satu kenyataan tahun lalu bertitah, baginda bimbang faktor usia menyulitkan baginda untuk melaksanakan tanggungjawab.
Maharaja Jepun disanjung tinggi sebagai ‘simbol negara dan penyatuan rakyat’ dalam perlembagaan pasca perang, namun kedudukannya tidak mempunyai kuasa politik.
Akihito, bersama Maharani Michiko, banyak menghabiskan masa baginda mententeramkan rakyat daripada terus disalut duka Perang Dunia Kedua – yang dilalui semasa zaman Jepun di bawah naungan ayahandanya, Hirohito.
Apabila Akihito turun takhta nanti, satu era diraja baharu akan bermula, menggantikan tempoh ‘Heisei’ atau ‘meraih keamanan’ yang bermula sejak 8 Januari 1989, iaitu tarikh baginda mula menaiki takhta.
Dalam urusan seharian, Jepun menggunakan kalendar Gregorian. Namun pada masa yang sama mengekalkan adat lama yang melabelkan zaman berdasarkan maharaja yang berada di atas takhta.
Kali terakhir maharaja Jepun diturunkan takhta adalah pada tahun 1817.
Pada Jun lalu, sebuah undang-undang digubal untuk membolehkan Akihito diturunkan dari takhta, namun masa dan tarikhnya mahu diputuskan kemudian.