Pandora Papers: Menteri Luar Jordan nafi wujud salah laku
Astro Awani
Oktober 8, 2021 11:24 MYT
Oktober 8, 2021 11:24 MYT
MENTERI Luar Jordan menegaskan pembelian hartanah oleh Raja Abdullah bernilai AS$106 juta di luar negara bukanlah satu rahsia.
Menurut Ayman Safadi, susulan pendedahan Pandora Papers, hartanah tersebut dibeli menerusi saluran yang sah dan patuh undang undang.
Terdahulu, Istana Jordan mengeluarkan kenyataan menafikan apa-apa salah laku dalam pemilikan dan pembelian hartanah tersebut.
"Ini adalah harta yang dimiliki baginda melalui dana peribadi. Sebarang tuduhan ia membabitkan penggunaan selain dana peribadi adalah tidak berasas, tidak benar dan bercanggah dengan fakta.
"Jadi, isu ini telah dibincangkan. Dan hakikat bahawa Mahkamah Diraja telah mengeluarkan kenyataan jelas menunjukkan kita tiada apa-apa untuk disembunyikan.
"Kita menangani perkara ini dengan sangat terbuka, sangat telus dan tanpa menyembunyikan apa-apa," katanya.
Tambahnya, wang penderma antarabangsa yang menjadi antara sumber ekonomi utama Jordan tidak digunakan dalam pembelian berkenaan.
Terdahulu, International Consortium Of Investigative Journalists mendedahkan nama individu termasuk ahli politik dan pemimpin yang mempunyai akaun luar pesisir.
Pemilikan akaun luar pesisir menurut laporan berkenaan tidak menyalahi undang-undang, namun ia mendakwa, ada individu yang mengambil kesempatan untuk lari dari cukai menerusi transaksi yang kompleks.