Pandemik masa depan: Jerman, WHO tubuh pusat pemantauan global
Astro Awani
Mei 6, 2021 09:59 MYT
Mei 6, 2021 09:59 MYT
KERAJAAN Jerman dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan pusat pemantauan global untuk mempersiapkan dan mencegah ancaman kesihatan awam masa depan seperti wabak COVID-19.
Menurut Canselor Jerman, Angela Merkel, pusat yang dikenali sebagai 'hab global untuk kecerdasan pandemik dan wabak' itu akan diselaraskan oleh WHO dan berpusat di Berlin.
"Dunia telah belajar bahawa kita hanya dapat mengatasi cabaran global seperti pandemik COVID-19 sekarang melalui tindakan bersama.
"Sementara itu kita semua telah menyedari bahawa WHO adalah institusi kesihatan global pusat dalam usaha ini. Dasar penting untuk memerangi pandemik masa depan adalah data," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pandemik COVID-19 telah mendedahkan jurang dalam sistem kesihatan global untuk kecerdasan pandemik dan wabak.
"Pandemik COVID-19 telah memperlihatkan jurang dalam sistem global untuk kecerdasan pandemik dan wabak.
"Ini adalah kenyataan bahawa akan ada lebih banyak virus yang akan muncul dengan potensi mencetuskan wabak atau pandemik. Virus bergerak pantas, tetapi data dapat bergerak dengan lebih pantas," ujarnya.
Pusat itu akan menerima sekitar AS$36 juta dari Jerman dan akan mencari dana di tempat lain juga untuk membina mekanisme pemantauan yang ada di WHO serta kawasan lain.
Ini termasuk rangkaian makluman dan tindak balas wabak global serta perisikan epidemik dari sistem sumber terbuka.
#Angela Merkel
#pandemik
#COVID-19
#Jerman
#kesihatan
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#WHO
#AS
#Tedros Adhanom Ghebreyesus