Panda jantan tertua di dunia akhirnya ditidurkan pada usia 35 tahun

Agensi
Julai 21, 2022 15:45 MYT
An An sewaktu menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-29 di Ocean Park, Hong Kong pada tahun 2015. - AP
HONG KONG: Panda gergasi jantan tertua di dunia dalam jagaan manusia, An An, akhirnya ditidurkan pada Khamis (21 Julai) pada usia 35 tahun, bersamaan 105 tahun dalam kadar umur manusia, kata kenyataan sebuah taman tema Hong Kong.
Menurut Ocean Park, sebuah fasiliti untuk haiwan dan hidupan marin yang menjadi tempat tinggal An An sejak tahun 1999, kesihatan panda itu sepanjang beberapa minggu lalu sudah menunjukkan tanda-tanda kemerosotan bertahap, termasuk tabiat makan yang berkurangan dan akhirnya langsung berhenti makan.
An An dan Jia Jia, iaitu panda betina tertua di dunia, yang mati pada tahun 2016 pada usia 38 tahun, merupakan hadiah daripada kerajaan China.
"Ocean Park sangat berdukacita mengumumkan tentang pemergian An An," kata satu kenyataan.
Taman haiwan itu juga memberitahu, mereka sangat berterima kasih diberi peluang untuk menjaga Jia Jia dan An An kerana ia sangat membantu Ocean Park dalam menjadi pangkalan penting bagi usaha konservasi spesies istimewa itu.
“An An merupakan ahli keluarga kami yang tiada ganti, dan telah membesar bersama-sama pusat ini. Ia juga telah mencetus ikatan persahabatan yang kuat dengan warga tempatan dan juga pelancong asing."
Ocean Park, yang turut menjaga dan mempamer haiwan seperti walrus, penguin dan dolfin, kini memiliki dua panda gergasi iaitu Ying Ying dan Le Le.
China menghadiahkan panda betina Ying Ying dan jantan, Le Le, kepada Hong Kong pada tahun 2007. Taman hidupan liar itu berharap pasangan berkenaan mampu menghasilkan zuriat pada masa akan datang.
#panda tertua #An An #China #hidupan liar
;