Panda gergasi Fu Bao buat kemunculan pertama di China
Agensi
Jun 13, 2024 17:21 MYT
Jun 13, 2024 17:21 MYT
CHENGDU: Panda gergasi pertama yang dilahirkan di Korea Selatan, Fu Bao dipertonton kepada orang ramai buat pertama kali sejak kembali ke kampung halamannya di wilayah Sichuan di barat daya China pada Rabu.
Pelawat dan media antarabangsa menantikan panda itu sebelum Fu Bao masuk ke kandangnya di pangkalan panda Shenshuping selepas dua bulan pemeriksaan, kuarantin dan tempoh penyesuaian.
Fu Bao dilihat melangkah perlahan, menghidu dan melihat sekeliling dengan rasa ingin tahu seterusnya menikmati rebung.
Menurut Cheng Jianbin, penternak Fu Bao memberitahu panda itu diberi makan 30 hingga 40 kilogram buluh setiap hari, juga sekitar lima hingga 10 kilogram pucuk rebung setiap hari.
Doktor haiwan dan penternak memantau pengambilan makanan, tabiat membuang air besar dan keadaan mentalnya untuk memastikan Fu Bao menjalani kehidupan yang selesa.
Timbalan pengarah Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China untuk Panda Gergasi, Li Desheng berkata berat semasa Fu Bao menjadi bukti penyesuainnya yang pantas dengan persekitaran baharunya.
“Berat antara 103 dan 106 kilogram sejak dua bulan lalu.
“Ia hampir sama dengan berat di Korea Selatan dan dalam julat normal panda dalam kumpulan umur ini,” katanya.
Untuk info, Fu Bao kembali ke China pada awal April lalu yang mana cabaran terbesar ialah menyesuaikan diri dengan "keluarga panda" di pangkalan itu.