Panda gergasi di Zoo Chiang Mai mati pada usia 21 tahun

Agensi
April 19, 2023 20:15 MYT
Haiwan yang menjadi tarikan utama itu mengalami masalah pendarahan hidung dan menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan. - Foto: Zoo Chiang Mai
CHIANG MAI: Panda gergasi bernama Lin Hui, yang menjadi bintang tarikan di Zoo Chiang Mai, mati pada pagi Rabu pada usia 21 tahun.
Portal BangkokPost melaporkan, pihak pengurusan zoo memberitahu, Lin Hui menunjukkan simptom yang lain daripada biasa pada Selasa dan telah segera diberikan pengawasan teliti.
Pegawai rasmi zoo juga telah mendapatkan bimbingan pakar dari China, namun, meskipun sudah melakukan yang termampu, panda betina itu akhirnya mati pada Rabu.
Kenyataan rasmi zoo kemudiannya memberitahu, haiwan yang menjadi tarikan utama itu mengalami masalah pendarahan hidung dan menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan.
Pasukan pakar turut diterbangkan dari China untuk membantu mencari punca sebenar kematian.
Lin Hui dilahirkan di China pada 28 September 2001, di Pusat Penyelidikan dan Konservasi Panda Gergasi Wulong di daerah Chengdu, Sichuan. Induknya merupakan panda jantan Pan Pan dan panda betina bernama Tang Tang.
Lin Hui telah dipinjamkan ke Zoo Chiang Mai pada 12 Oktober 2003, sebagai simbol hubungan diplomatik antara China dan Thailand.
Sejak berada di Zoo Chiang Mai, Lin Hui menjadi tarikan popular yang turut membantu meningkatkan jumlah pengunjung ke zoo itu sehingga mencatatkan lebih 7.4 juta pelawat. Ia dijadualkan untuk dikembalikan kepada China tahun ini.
#panda gergasi #lin hui #zoo chiang mai #Thailand
;