Panama undur diri daripada Inisiatif Jalur dan Laluan China
Bernama
Februari 7, 2025 14:15 MYT
Februari 7, 2025 14:15 MYT
Mulino berkata pihak China telah dimaklumkan mengenai keputusan itu. - Gambar/ Reuters
MEXICO CITY: Susulan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung Terusan Panama, negara itu memutuskan untuk menarik diri daripada inisiatif pembangunan infrastruktur Jalur dan Laluan (BRI) China, kata Presiden Panama Jose Raul Mulino pada Khamis, menurut agensi berita Jerman dpa.
Mulino berkata pihak China telah dimaklumkan mengenai keputusan itu.
Inisiatif yang juga dikenali sebagai Laluan Sutera Baharu itu merangkumi pelbagai projek kerjasama perdagangan dan infrastruktur antara China dengan lebih 150 negara di seluruh dunia.
Mulino menjelaskan bahawa keputusan untuk keluar daripada inisiatif itu dibuat sepenuhnya oleh Panama, sambil menegaskan negaranya tidak mendapat banyak manfaat daripada projek berkenaan.
"Apa yang telah Panama peroleh sepanjang tahun-tahun ini?" katanya pada satu sidang media.
Setiausaha Negara AS yang baharu, Marco Rubio dilaporkan mengunjungi Panama hujung minggu lepas bagi menggariskan tuntutan Presiden Donald Trump terhadap Terusan Panama, selain menyatakan bahawa pengaruh China ke atas laluan perairan global itu adalah tidak dapat diterima.
China menolak dakwaan itu dan melahirkan rasa kesal terhadap kemungkinan Panama menarik diri daripada projek berprestij itu.
Sekiranya Panama mengurangkan kerjasama dengan China akibat tekanan AS, ia merupakan "keputusan yang amat dikesali," kata Duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong di New York.
Sementara itu, Xinhua melaporkan Mulino pada Khamis turut menyangkal dakwaan Jabatan Negara AS bahawa kapal-kapal Kerajaan AS kini boleh melalui Terusan Panama secara percuma.
Pada satu sidang media, Mulino berkata kenyataan AS dibuat oleh "entiti yang mentadbir dasar luar AS" berasaskan "kepalsuan dan tidak boleh diterima."
Presiden menyatakan "keengganan mutlaknya" untuk "menguruskan hubungan dua hala berasaskan pembohongan dan kepalsuan", sambil menambah beliau telah mengarahkan Duta Panama di Washington untuk mempertikaikan kenyataan itu.
Pada Rabu, Jabatan Negara AS dalam hantarannya di platform X bahawa Panama telah bersetuju untuk tidak mengenakan bayaran ke atas kapal Kerajaan AS semasa melalui Terusan Panama, yang akan menjimatkan Kerajaan AS "berjuta dolar setahun".
-- BERNAMA