Panama serah suspek pembunuhan Presiden Haiti kepada AS
Bernama
Januari 5, 2022 11:55 MYT
Januari 5, 2022 11:55 MYT
PANAMA: Pihak berkuasa Panama pada Selasa menyerahkan kepada Amerika Syarikat seorang bekas anggota tentera Colombia yang disyaki terbabit dalam pembunuhan presiden Haiti, Jovenel Moise di Port-au-Prince pada 7 Julai, menurut Perkhidmatan Imigresen Nasional Panama.
Mario Antonio Palacios telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen, Panama City pada Isnin, ketika penerbangannya dari Jamaica ke Colombia membuat persinggahan.
Penahanannya mematuhi waran Interpol yang dibuat Amerika Syarikat, lapor Xinhua.
Sumber berkata, sebaik tiba di Panama, suspek menyatakan kesediaan menyerah diri kepada pihak berkuasa tempatan untuk dihantar ke AS.
Palacios telah ditangkap di Jamaica pada Oktober, dia dilaporkan masuk secara haram melalui Republik Dominica.
-- BERNAMA