Panama Papers: G-20 gesa henti tindakan salur dana ke akaun luar pesisir

Astro Awani
April 5, 2016 14:09 MYT
Pemimpin Kumpulan G20 bertegas akan menghentikan tindakan penyaluran dana yang dikaitkan dengan penggubahan wang haram, penyelewengan dan pelarian cukai. -Gambar fail/AFP
Pemimpin Kumpulan G-20 bertegas akan menghentikan tindakan penyaluran dana yang dikaitkan dengan penggubahan wang haram, penyelewengan dan pelarian cukai.
Ia susulan pendedahan wujudnya 11.5 juta akaun luar pesisir oleh sebuah organisasi yang digelar sebagai Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) melibatkan ahli perniagaan, selebriti, bintang sukan serta pemimpin dunia.
Reaksi awal lain termasuk persoalan tentang syarikat rangka dan usaha golongan terkaya dunia menyembunyikan kekayaan mereka.
BACA: Panama Papers: Gabungan media dedah rekod kewangan golongan elit
Sehingga kini, organisasi berita dunia bertungkus-lumus memproses data yang sangat besar berbanding pendedahan lain yang dilakukan sebelum ini.
"Ini merupakan pendedahan maklumat terbesar kepada wartawan yang menunjukkan bagaimana golongan kaya dan kroni politik dapat beroperasi dengan matlamat sah dan tidak sah,” kata pemberita dari Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ), Will Fitzgibbon.
“Kebiasaannya, (ia dilakukan) secara rahsia dan jauh daripada pengetahuan pihak berkuasa yang mungkin berminat mengetahui jika mereka terlepas mana-mana cukai, atau jika ada aktiviti yang melanggar undang-undang negara, di sempadan mereka, tanpa pengetahuan mereka,” katanya lagi.
Fitzgibbon menambah antara isu utama di sebalik pendedahan ini adalah ketidakadilan yang wujud dengan kekayaan itu.
“Saya rasa orang kebanyakan seharusnya berasa bimbang tentang perkara ini kerana ia tidak adil. Hanya kerana mereka ada wang untuk mengupah peguam atau bank swasta untuk mengatur syarikat rangka yang tidak melakukan apa-apa, dan mereka melakukan perkara itu.
“Dan melalui syarikat rangka itu, mereka hanya membayar lima peratus berbanding 35 peratus, contohnya.
“Itulah yang kami lihat dalam banyak fail itu. Selalunya syarikat, tetapi ada juga individu, yang dapat membayar cukai yang sedikit walaupun nilainya sudahpun tinggi,” tambah Fitzgibbon.
Data berkenaan adalah daripada rekod perundangan firma guaman Mossack Fonseca yang berpusat di Panama.
Ia pertama kali didedahkan pada Ahad kepada sebuah akhbar di Jerman.
Antara pemimpin dan bekas pemimpin yang disebut dalam pendedahan berkenaan termasuk dari Ukraine, Argentina dan Pakistan.
#11.5 juta akaun luar pesisir #G20 #ICIJ #Panama Papers #pelarian cukai #penggubahan wang haram #Will Fitzgibbon
;