Panama Papers: Firma Mossack Fonseca dakwa sistemnya 'digodam dari luar negara'

Agensi
April 6, 2016 14:43 MYT
RAMON: Kami mempunyai laporan teknikal yang menunjukkan kami digodam oleh komputer pelayan luar negara.
Salah seorang pengasas firma perundangan yang kini terbabit dalam pendedahan ‘Panama Papers’ mengenai pemilikan di luar pesisir memberitahu bahawa syarikat itu digodam komputer pelayan dari luar negara.
Bercakap kepada AFP pada Selasa, Ramon Fonseca berkata firma Mossack Fonseca telah melaporkan aduan jenayah kepada pendakwa raya Panama pada Isnin berkenaan pencerobohan itu.
Tambahnya, dalam hal yang kini kecoh diperkatakan itu, ‘tiada siapa yang bercakap tentang penggodaman, dan itu satu-satunya unsur jenayah yang telah dilakukan’.
Melalui pesanan telefon yang menjawab soalan-soalan AFP, Fonseca berkata: “Kami telah melaporkan aduan. Kami mempunyai laporan teknikal yang menunjukkan kami digodam oleh komputer pelayan luar negara.”
Dia bagaimanapun tidak menyatakan negara asal punca penggodaman itu.
BACA: 5 perkara anda perlu tahu tentang Panama Papers
Fonseca juga kesal tentang laporan mengenai pembocoran 11.5 juta dokumen itu menumpukan kepada pelanggan berprofil tinggi yang menggunakan firma perundangan tersebut untuk memulakan syarikat luar pesisir bagi melindungi kekayaan mereka.
"Kami tidak faham. Dunia kini sudah menerima bahawa privasi bukan hak asasi," ujarnya,
Penggodaman itu telah menggegarkan sektor perkhidmatan kewangan Panama, yang bergantung kepada aspek kerahsiaan untuk menjalankan perniagaan.
Dengan senarai ahli politik berprofil tinggi, bintang sukan, selebriti dan beberapa penjenayah didedahkan telah menggunakan Mossack Fonseca untuk membina entiti luar pesisir, tumpuan ke atas negara Amerika Tengah itu kini semakin melonjak.
Firma perundangan itu dan pihak pemerintah Panama telah menegaskan bahawa penubuhan syarikat luar pesisir itu tidak melanggar undang-undang.
Namun, ia menekankan bahawa pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan pelanggannya dengan syarikat-syarikat itu.
Panama yang kebelakangan ini melaksanakan langkah reformasi untuk segera keluar dari senarai negara-negara yang menjadi hab pengubahan wang, begitu agresif mempertahankan sektor kewangannya, yang menyumbangkan 7 peratus dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK).
BACA: Singapura, Indonesia akan jalankan siasatan
#Mossack Fonseca #Panama Papers #Ramon Fonseca #syarikat luar pesisir
;