Panama Papers: 21 nama rakyat Thailand tersenarai, 16 sudah disahkan
Agensi
April 8, 2016 15:58 MYT
April 8, 2016 15:58 MYT
Sejumlah 21 individu warga Thailand dikenal pasti tersenarai dalam maklumat yang dibocorkan skandal akaun luar pesisir, Panama Papers, dengan 16 nama sudah disahkan, ujar Pejabat Anti Penggubahan Wang (AMLO) itu pada Jumaat.
“Setakat ini, kami tidak menemui sebarang perkara yang menyalahi undang-undang namun siasatan lanjut diperlukan.
“Perincian siasatan kami bagaimanapun tidak boleh didedahkan buat masa ini,” ujar pemangku Setiausaha Agung AMLO Seehanat Prayoonrat dalam satu sidang media di Bangkok, seperti yang dipetik media tempatan.
Warga Thailand yang disenaraikan dalam maklumat Panama Papers itu antara lain terdiri daripada golongan ahli politik dan usahawan.
Isnin lalu, Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) mendedahkan lebih 11 juta dokumen yang didakwa diperoleh dari sebuah firma perundangan di Panama, Mossack Fonseca yang bertanggungjawab mengendalikan urusan penubuhan syarikat luar pesisir.
Terdahulu, pemerintah Singapura menyatakan siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat mana-mana individu atau entiti di republik itu yang dinamakan dalam dokumen yang dbocorkan dari firma undang-undang Panama.
Begitu juga dengan Indonesia, pihak berkuasa negara itu akan menjalankan siasatan khsusnya yang melibatkan warganegaranya yang menyembunyikan kekayaan untuk mengelak cukai.