Panama adakan Hari Perkabungan Negara peringati peristiwa serangan 1989
Bernama
Disember 22, 2022 16:31 MYT
Disember 22, 2022 16:31 MYT
PANAMA CITY: Panama buat kali pertama dalam tempoh 33 tahun mengadakan Hari Perkabungan Negara pada Selasa sempena memperingati peristiwa serangan Amerika Syarikat (AS) pada 1989.
Serangan itu dilancarkan untuk menahan bekas orang kuat Panama, Manuel Antonio Noriega, yang disabitkan oleh AS kerana mengedar dadah.
Presiden Laurentino Cortizo turut menghadiri upacara itu yang diadakan di Tanah Perkuburan Jardin de Paz, turut dihadiri pegawai lain serta saudara-mara mangsa yang terkorban, lapor Xinhua.
"Panama berhutang kepada waris mangsa yang telah kehilangan nyawa dalam peristiwa 20 Disember itu. Mulai sekarang, generasi Panama kini dan akan datang akan lebih memahami maksud hari itu," katanya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 500 orang awam terbunuh dalam peristiwa itu.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia menganggarkan sejumlah 2,500 hingga 3,000 orang awam kehilangan nyawa.
-- BERNAMA