Pamplona bertempur dengan jurukamera berani mati

Astro Awani
Julai 11, 2014 03:27 MYT
Sejak 1911, 15 orang telah terbunuh dalam Festival San Fermin - Foto AFP/Pedro Armestre
Pihak berkuasa Sepanyol kini dalam usaha mencari jurukamera berani mati yang membahayakan nyawa mereka untuk berlari bersama lembu jantan sambil merakam aksi tersebut pada Festival San Fermin.
Pihak polis menghalang orang ramai yang membawa kamera daripada mengambil bahagian dalam larian pada awal pagi itu dimana orang ramai dikejar enam ekor lembu jantan laga dan enam pemandu melalui jalan di utara bandar Pamplona.
Mereka yang ditangkap menggunakan alat perakam ketika larian lembu jantan itu boleh dikenakan denda antara 600 euro ke 60,000 euro (RM2,598 ke RM 259,863) bergantung kepada tahap bahaya.
Polis telah mendenda ‘enam ke tujuh orang’ setakat ini atas kesalahan membuat rakaman ketika larian lembu jantan sepanjang festival yang diadakan selama seminggu itu termasuk seorang rakyat Britain yang menerima saman sebanyak 650 euro (RM2,815) pada Selasa, menurut ahli majlis bandar Pamplona, Gabriel Viedma yang juga bertanggungjawab ke atas keselamatan.
"Membawa kamera untuk merakam atau mengambil gambar boleh menyebabkan bahaya. Orang ramai berhenti berlari untuk mengambil gambar atau membiarkan lembu jantan berlalu pergi," katanya.
Walaupun pihak polis telah mengambil pelbagai jenis langkah, namun orang ramai masih dilihat membawa kamera digital dan telefon pintar dilengkapi kamera semasa mengambil bahagian dalam larian itu ketika acara kemuncak pada 6 hingga 14 Julai.
Muat naik imej dramatik
Alat perakam kini semakin kecil dan ringan menjadikannya lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Pada masa yang sama, peningkatan populariti media sosial seperti Facebook menyediakan satu saluran buat pelari yang kebanyakkannya memakai selendang berwarna merah-putih. Mereka turut berkongsi gambar-gambar dramatik yang diambil perjalanan mereka di jalan-jalan raya di Pamplona.
YouTube menampilkan beberapa video yang diambil oleh peserta larian lembu jantan Pamplona dimana mereka menggunakan kamera GoPro yang membolehkan peminat sukan membuat rakaman dan sekaligus memuatnaik video tersebut ke atas talian.
Menjerit dalam kesakitan
Tahun lalu, seorang pelajar dari Amerika Syarikat, Patrick Eccles yang membawa telefon berkamera ketika menghadiri larian lembu jantan telah dirodok perutnya dan menyebabkan limpanya terpaksa dibuang.
Beberapa gambar menunjukkan mangsa ditikam oleh tanduk lembu itu menjerit dalam kesakitan sementara sebelah tangannya memegang salah satu tanduk lembu jantan itu dan sebelah lagi memegang telefon berkamera berwarna hitam.
Sejak 1911, 15 orang telah terbunuh dan paling terbaharu adalah pada 2009 apabiila seorang rakyat Sepanyol berusia 27 tahun dirodok di leher, jantung dan paru-paru.
Puluhan orang cedera pada setiap tahun. Kebanyakkan kecederaan bukanlah disebabkan tanduk lembu jantan tetapi disebabkan peserta terjatuh, dilanggar atau dirempuh oleh haiwan tersebut.
#Festival San Fermin #lembu jantan #pamplona