Palsukan kematian sendiri dalam tempoh ikat jamin, bekas pengarah syarikat ditambah hukuman
Agensi
Februari 17, 2020 22:55 MYT
Februari 17, 2020 22:55 MYT
Gara-gara memalsukan kematiannya sendiri semasa dibebaskan dengan jaminan, seorang lelaki di Singapura dijatuhi hukuman penjara tambahan selama 18 bulan.
Ng Kek Wee, bekas pengarah Singalab International, sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan pada 4 Mei 2017 atas tuduhan pecah amanah 3 juta saham daripada anak syarikatnya, lapor portal berita Channel News Asia.
Kek Wee merayu terhadap sabitan dan hukumannya, dan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kesnya diperdengar di Mahkamah Rayuan. Dia kemudian diberikan kebenaran oleh Mahkamah Negeri untuk membuat perjalanan ke China untuk tujuan kerja.
Pendengaran rayuannya ditetapkan pada 20 Jul 2018. Pada hari tersebut, peguam Kek Wee, Lim Chee San berjaya memohon penangguhan atas alasan Kek Wee sedang menerima rawatan di China dan tidak sihat untuk melalui perjalanan pulang ke Singapura.
Kek Wee kemudiannya mengupah seorang individu yang tidak dikenali di China untuk membuat jadual penerbangan palsu yang menunjukkan dia kembali ke Singapura pada 13 Mac 2019 jam 12.15 tengah malam menerusi penerbangan Shenzhen Airlines dari Shenzhen, China.
Namun pada Februari 2019, Kek Wee ke Indonesia dan menghubungi seorang individu bernama Ali Ruslan untuk mengeluarkan sijil kematian, yang mengesahkan dia meninggal dunia di Indonesia pada 10 Mac 2019.
Sijil kematian itu diserahkan kepada mahkamah oleh peguam Kek Wee pada tarikh pendengaran rayuannya, tanpa mengetahui ia sebenarnya palsu.
Untuk mengesahkan kematian Kek Wee, Jabatan Hal Ehwal Perdagangan melakukan pemeriksaan dan mendapat maklumat Kek Wee meninggalkan Indonesia pada 3 Mac 2019, seminggu sebelum tarikh 'kematian'nya.
Dia juga didapati berulang alik antara Malaysia dan China, dalam tempoh 3 Mac 2019 hingga 3 April 2019.
Kek Wee telah ditahan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2019 apabila dia menggunakan pasport Singapuranya untuk masuk ke Malaysia.
Dia mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada penjawat awam, bersubahat dengan membuat bukti palsu dalam prosiding kehakiman, dan gagal menghadiri perbicaraan dengan sengaja dan tanpa alasan yang munasabah.
#China
#ikat jamin
#Indonesia
#Lim Chee San
#mahkamah
#Ng Kek Wee
#palsu
#peguam
#Singalab International
#Singapura