Palestin yakin dunia Arab sokong perjuangannya tuntut keadilan

Bernama
April 15, 2018 21:10 MYT
Presiden Palestin Mahmoud Abbas tiba bagi menghadiri Sidang Kemuncak Arab Ke-29 di Dhahran, Arab Saudi, 15 April, 2018. REUTERS.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas yakin bahawa Sidang Kemuncak Arab ke-29 yang berlangsung selama sehari di sini pada Sabtu akan menegaskan lagi pendirian Arab Saudi bersama rakyat Palestin dan perjuangan mereka untuk menuntut keadilan.
Ketika memuji peranan Arab Saudi di bawah kepimpinan Raja Salman Abdul Aziz Al Saud dalam memerangi keganasan dan ekstremisme di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa, beliau berharap Arab Saudi menyokong perjuangan mereka yang sah untuk menamatkan pendudukan dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Sidang Kemuncak yang dihoskan oleh Arab Saudi berlangsung ketika isu Palestin dan Baitulmaqdis menjadi sasaran serangan hebat dan komplot untuk melenyapkannya, kata beliau dalam satu kenyataan kepada Agensi Berita Saudi (SPA).
Mahmoud berkata, Baitulmaqdis pada Sabtu memerlukan sokongan Arab dengan apa carapun untuk menyokong rakyat Palestin yang memperlihatkan ketabahan dalam perjuangan mereka dan mengukuhkan kedudukan mereka di tanah air mereka demi mempertahankan Baitulmuqaddis dan kota-kota sucinya.
Beliau menjangka mendapat sokongan mutlak daripada Sidang Kemuncak Arab berhubung perjuangan rakyat Palestin untuk mewujudkan keamanan memandangkan isu itu telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Beliau berkata negara Palestin menyokong perjuangan memerangi keganasan dalam semua bentuk dan di mana-mana, mengukuhkan lagi sokongan penuh terhadap usaha Arab Saudi untuk mengekang keganasan dan berdiri teguh atas semangat perpaduan dengan Palestin.
Sementara itu, Sidang Kemuncak tersebut menyaksikan kira-kira 600 wartawan dari seluruh dunia berkumpul di bandar perindustrian ini sejak beberapa hari lalu dengan sesetengah daripada mereka bertugas dari dua pusat media yang ditubuhkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi.
Mesyuarat persediaan dan peringkat menteri Sidang Kemuncak Liga Arab Ke-29 diadakan di Riyadh semalam apabila pegawai kanan Arab membincangkan pelbagai perkembangan politik, keselamatan dan ketenteraan yang dihadapi rantau itu.
Menteri-menteri Luar Arab menegaskan pada mesyuarat peringkat menteri bahawa isu Palestin dan perkembangan di sana akan menjadi tajuk utama perbincangan pada Sidang Kemuncak.
Menurut laporan SPA, mereka juga menyeru supaya bekerjasama untuk menyekat Iran daripada mencampuri urusan hal ehwal Arab.
Agenda sidang kemuncak telah digariskan semasa mesyuarat persediaan melibatkan menteri-menteri luar dari 22 negara.
Sidang Kemuncak tersebut bermula selepas solat Zohor.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #Israel #Keadilan #keamanan #Mahmoud Abbas #Palestin #perjuangan #sidang kemuncak arab