Palestin tolak rampasan tanah oleh Israel
Astro Awani
Jun 21, 2020 07:19 MYT
Jun 21, 2020 07:19 MYT
PALESTIN menolak rampasan Lembah Jordan dan Tebing Barat oleh Israel.
Demikian ditegaskan Penasihat Kanan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh.
"Ini adalah soal prinsip," katanya pada satu sidang media pada Ahad.
"Rakyat Palestin telah menempuh pelbagai halangan dan 10 hari akan datang merupakan masa-masa yang berbahaya dan penting," tambahnya.
Beliau menegaskan, ini adalah sebahagian daripada gelombang penjajahan yang telah dihadapi warga Palestin sejak 100 tahun lalu.
Tambahnya, rampasan kawasan berkenaan, sama ada besar atau kecil, tetap ditolak.
Menurutnya, ia akan melihat sama ada dalam masa terdekat, Amerika Syarikat (AS) atau Israel akan menarik semula pelan tersebut.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum ini berikrar akan merampas Lembah Jordan dan Tebing Barat, selari dengan rancangan Presiden AS, Donald Trump.
Proses itu dijangka bermula seawal 1 Julai.
Menurut Netanyahu, Israel akan merampas kawasan tersebut, namun penduduknya boleh kekal di dalam kawasan yang akan dikawal oleh tentera Israel.
Rampasan kawasan oleh Israel ini telah mendapat kecaman antarabangsa dengan negara di Eropah dan Arab menyatakan ia melanggar undang undang antarabangsa dan mengancam penubuhan dua negara sebagai penyelesaian.
#antarabangsa
#AS
#Benjamin Netanyahu
#Donald Trump
#Israel
#Jordan
#kecaman
#Lembah Jordan
#Mahmoud Abbas
#Nabil Abu Rudeineh
#Palestin
#rakyat
#rampasan
#tentera
#undang-undang