Palestin sertai negara-negara Arab desak AS lakukan gencatan senjata di Gaza
Agensi
November 5, 2023 20:04 MYT
November 5, 2023 20:04 MYT
RAMALLAH: Palestin menyertai negara-negara Arab dalam mendesak Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken untuk melaksanakan gencatan senjata segera di Gaza.
Al Jazeera yang memetik jurucakap Abbas sebagai berkata, perkara itu disampaikan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kepada Blinken dalam pertemuan kira-kira satu jam antara kedua-dua pemimpin itu di West Bank, pada Ahad.
Tuntutan itu dibuat ketika angka kematian di Gaza semakin meningkat dengan jumlah kini mencecah 10,000 orang.
"Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan daripada kedua-dua pihak, namun apa yang saya tahu Abbas mungkin menggesa Blinken untuk melakukan gencata senjata seperti yang tuntutan pemimpin dari negara-negara Arab.
"Tapi tuntutan negara-negara Arab itu ditolak dan perkara yang sama mungkin berlaku kepada Abbas," jelas jurucakap itu.
Sebelum ini, Blinken menolak tuntutan menteri-menteri luar Arab untuk melakukan gencatan senjata pada mesyuarat menteri-menteri luar Arab yang diadakan di Amman, Sabtu.
Lapor Arab News, menurut Blinken, gencatan senjata akan menjadi tidak produktif dan boleh menggalakkan lebih banyak serangan daripada Hamas.
Malah, Blinken menegaskan pihaknya hanya boleh menyokong 'pemberhentian sementara konflik atas dasar kemanusiaan' bagi membenarkan penghantaran bantuan dan pemindahan penduduk dari enklaf dikepung.
“Pada pandangan kami, gencatan senjata hanya akan menyebabkan Hamas berada di tempatnya selain dapat berkumpul semula dan mengulangi serangan mengejut dilakukan pada 7 Oktober lalu,” kata Blinken dalam sidang akhbar selepas rundingan itu.
Terdahulu, menteri-menteri luar dari Jordan, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan seorang pegawai kanan Palestin bertemu dengan Blinken selepas mengadakan mesyuarat berasingan sebelum ini dan satu lagi pertemuan dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi dan rakan sejawatnya di Arab Saudi, Putera Faisal Farhan, Abdullah Zayed Al-Nahyan (UAE), Mohammed Abdulrahman Jassim Al-Thani (Qatar), Sameh Shoukry (Mesir) dan Hussein Al-Sheikh dari Pertubuhan Pembebasan Palestin.