Palestin: Resolusi saja tidak cukup, PBB perlu ada ketegasan - Penganalisis

Madiha Abdullah
September 20, 2024 14:00 MYT
Apa yang diperlukan ketika ini ialah ketegasan kerana Israel terbukti tidak pernah mengambil endah terhadap undang-undang antarabangsa. - AP Photo/Frank Franklin II
KUALA LUMPUR: Resolusi oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa penamatan pendudukan Israel di Palestin adalah petanda bahawa masyarakat antarabangsa komited untuk membantu menyelamatkan Palestin serta memastikan kekejaman zionis dihentikan segera.
Namun Pengarah Institut Pengajian Kecemerlangan Islamik Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Aminurraasyid Yatiban berkata, resolusi sahaja tidak mencukupi kerana apa yang diperlukan ketika ini ialah ketegasan kerana Israel terbukti tidak pernah mengambil endah terhadap resolusi atau undang-undang antarabangsa.
“Perlu ada satu ketetapan lebih tegas, bagaimana jika mereka tidak beri kerjasama, contohnya jika Israel tak mahu beri kerjasama ataupun memandang enteng resolusi ini sebagaimana sikap mereka terhadap keputusan yang pernah diambil sebelum ini termasuk keputusan ICJ.
“Kita perlu satu ketetapan yang lebih tegas membabitkan penegasan hukuman atau tindakan ke atas rejim haram Israel perlu diputuskan bersama dan perlu didukung Amerika Syarikat bagi memastikan resolusi tidak terbiar begitu saja, malah akan ada hukuman yang akan dikenakan ke atas Israel (jika mengabaikan resolusi),” katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Jumaat.
Jelasnya, fungsi PBB tidak efektif berpunca daripada kekangan semberono dari sekutu Israel iaitu Amerika Syarikat.
Justeru, terdapat keperluan untuk melihat jika Majlis Keselamatan PBB dirombak dengan panduan yang lebih tegas, bagi memastikan resolusi dapat dilaksanakan dengan adil.
Dalam pada itu, beliau melihat tindakan terbaharu Israel terhadap Lubnan dan Hezbollah adalah ancaman terhadap penduduk dunia secara keseluruhannya.
“Kita lihat kekejaman Israel memang tak ada batasan. Mereka bukan sahaja membantai dan membunuh rakyat Palestin tetapi juga tidak teragak-agak melakukan tindakan ganas kepada rakyat Lubnan, malah mungkin juga mana-mana pihak yang dianggap ancaman kepada mereka.
“Jadi dalam konteks ini, kesiapsiagaan Lubnan sepatutnya turut didukung masyarakatantarabangsa,” katanya lagi.
#resolusi #PBB #palestin' #Israel
;