Palestin putuskan hubungan dengan Israel susulan serangan ke atas Tebing Barat
Bernama
Julai 4, 2023 11:50 MYT
Julai 4, 2023 11:50 MYT
RAMALLAH: Palestin memutuskan semua hubungan, pertemuan dan koordinasi keselamatan dengan Israel, sebagai tanda protes terhadap serangan kejam rejim itu di Tebing Barat yang telah mengorbankan lapan rakyat Palestin dan mencederakan 80 yang lain, lapor Xinhua.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar kepimpinan Palestin yang diketuai oleh Presiden Mahmoud Abbas di Ramallah pada Isnin, memetik kenyataan rasmi.
Abbas mengajak rakyat Palestin untuk berdiri teguh, bersatu dan mempertahankan tanah dan tempat suci mereka, menurut Agensi Berita Palestin WAFA.
Kepimpinan Palestin turut mengulangi seruan kepada komuniti antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza.
Menurut kenyataan rasmi itu, kepimpinan Palestin memutuskan untuk segera berhubung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan 2334 dan resolusi-resolusi lain untuk melindungi rakyat Palestin.
Pada Isnin, tentera Israel melancarkan serangan berskala besar dengan menggunakan kenderaan berperisai, jentolak, dron dan helikopter, ke atas bandar Jenin di utara Tebing Barat dan kem pelarian di situ.
Sekurang-kurangnya lapan orang Palestin terbunuh dan 80 orang lain cedera dalam serangan itu, menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Palestin.
Menurut angka rasmi, sejak Januari seramai 24 orang kebanyakannya warga Israel telah terbunuh dalam beberapa siri serangan yang dilakukan oleh rakyat Palestin, manakala 180 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak serta wanita dibunuh oleh tentera dan pendatang Israel.
-- BERNAMA