Palestin: PBB memperingati Hari Nakba buat kali pertama tahun ini

Bernama
April 16, 2023 13:20 MYT
Semua rakyat Palestin diminta memperingati tragedi Palestin 1948 "dalam menghadapi semua pembohongan dan naratif palsu yang cuba memesongkan sejarah dan fakta." - Gambar fail/ Reuters
RAMALLAH (Palestin): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperingati Hari Nakba buat kali pertama pada tahun ini, menandakan pengisytiharan negara haram Israel dalam sejarah Palestin, lapor Agensi Anadolu.
"Memperingati Peristiwa Nakba menjadi keutamaan kami dalam mengekalkan naratif bumi Palestin, yang mesti kami patuhi dan sampaikan kepada seluruh dunia," agensi berita WAFA Palestin memetik Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Abbas menggesa semua rakyat Palestin walau di mana sahaja mereka berada untuk memperingati tragedi Palestin 1948 "dalam menghadapi semua pembohongan dan naratif palsu yang cuba memesongkan sejarah dan fakta."
Hari Nakba pada 15 Mei adalah untuk mengingati pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin dari kediaman dan tanah air mereka pada 1948 selepas penubuhan Israel.
"Apa yang rakyat Palestin perlu lakukan adalah untuk memperingati tragedi ini, kerana ia adalah kali pertama masyarakat global tidak menafikan Nakba," kata Abbas.
"Pada hari-hari yang penuh keberkatan ini, kami menyeru semua rakyat untuk bersama-sama menghadapi cabaran di tanah air kita dan menumpukan perhatian ke arah menghadapi pendudukan dan menyingkirkannya," katanya.
-- BERNAMA
#Hari Nakba #Palestin #Irael #PBB
;